Sime Darby Plantation bekerjasama dengan PNB bangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian seluas 404 hektar | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation bekerjasama dengan PNB bangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian seluas 404 hektar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - Sime Darby Plantation Bhd (SD Plantation) akan bekerjasama dengan pemegang saham utama, Permodalan Nasional Bhd bagi membangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) seluas 404 hektar, di Perak.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, cadangan bersama telah dikemukakan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) pada Februari 2024 dengan pembangunan itu ditempatkan di Ladang Tali Ayer SD Plantation di Perak.

 

KIGIP yang direka bagi menarik pelaburan elektrik dan elektronik (E&E) hijau ke dalam negara, diumumkan kerajaan semasa Bajet 2024.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, perancangan itu melibatkan penubuhan ladang solar seluas 267 hektar sebagai sumber tenaga hijau utama untuk kawasan itu, direka untuk menarik pelaburan dalam segmen semikonduktor dan E&E.

 

"Keputusan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan KIGIP adalah satu peristiwa penting untuk kami menerokai persekitaran syarikat perladangan," katanya.

 

Secara konsepnya, SD Plantation berkata, kira-kira 67% daripada zon utama akan terdiri daripada kawasan perindustrian, manakala bakinya akan menempatkan infrastruktur lain seperti kemudahan komersial dan kediaman serta kawasan hijau yang besar.

 

Perancangan itu tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, usaha wajar, keperluan undang-undang dan proses kelulusan dalaman yang lain.

 

Mohamad Helmy berkata, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang ke kawasan pembangunan taman perindustrian berikutan simpanan tanah dan kunci kira-kira yang kukuh.

 

"Dengan kerjasama dalam projek sebegitu, bukannya hanya melibatkan penggunaan tanah tetapi kami menyasarkan untuk mendapatkan aliran hasil yang lebih mampan untuk pemegang saham kami,"katanya.

 

Kumpulan itu memegang bank tanah strategik di pelbagai negeri di seluruh Malaysia, dan perbincangan aktif kini sedang dijalankan dengan beberapa agensi negeri untuk membangunkan tanah itu menjadi taman perindustrian.

 

SD Plantation berkata, ladang solar untuk KIGIP akan dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat itu, memandangkan tenaga boleh diperbaharui (RE) telah dikenal pasti sebagai tonggak strategik utama dan sumber pendapatan bagi kumpulan itu.

 

Ia juga merupakan komponen utama strategi sifar bersih SD Plantation, khususnya, sasaran pengurangan 42% dalam Skop 1 dan Skop 2 pelepasan karbon Tenaga dan Perindustrian menjelang 2030.

 

RE dijangka menyumbang dengan ketara kepada syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

SD Plantation berkata, syarikat akan mengenal pasti tanah pertanian yang kurang produktif untuk dijadikan ladang solar pada masa hadapan. - DagangNews.com