KUALA LUMPUR 12 Julai - Penyedia penyelesaian perbankan teras terkemuka ASEAN, Silverlake Axis Ltd. yang tersenarai di papan utama Singapura, memeterai perjanjian perkongsian strategik dengan Finastra, bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan perdagangan.
Menurut perjanjian tersebut, Silverlake akan menawarkan penyelesaian pembiayaan perdagangan Finastra, penyedia global aplikasi perisian kewangan dan pasaran, yang terbaik dalam kelasnya termasuk Fusion Trade Innovation dan Fusion Corporate Channels kepada pelanggan di rantau ini sebagai tambahan kepada rangkaian perkhidmatan perbankan universalnya yang meluas.
Kerjasama tersebut yang dikenali sebagai ‘Silverlake Vision Trade Finance’ bertujuan menyediakan rangkaian penyelesaian dari hujung ke hujung yang dapat menyokong operasi bank korporat yang ingin memanfaatkan rangkaian perdagangan di dalam dan luar ASEAN.
Pengarah Urusan Kumpulan Silverlake Axis, Andrew Tan berkata, sejak awal lagi kumpulan menyedari bahawa usaha sama dengan Finastra seharusnya merupakan sesuatu yang dapat membawakan impak besar kepada pelanggan dan bakal pelanggannya.
"Gabungan pemahaman Silverlake yang mendalam mengenai penyelesaian teknikal yang kompleks dengan kepakaranFinastra dalam bidang pembiayaan perdagangan membantu kami mewujudkan penyelesaian termaju yang relevan supaya pelanggan kami dapat berkembang, berubah dan bersaing dalam dunia pasca pandemik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Silverlake Vision Trade Finance merupakan platform pembiayaan perdagangan bersepadu yang diwujudkan untuk melancarkan dan mengautomasikan pembiayaan modal kerja domestik dan antarabangsa, termasuk perdagangan dan aku janji berdokumen, pembiayaan dan pinjaman perdagangan, dan pembiayaan rantaian bekalan.
Hab operasi yang mantap ini dilengkapkan oleh keupayaan saluran termaju yang menyediakan antara muka yang lancar untuk pelanggan korporat dalam semua aspek hubungan produk.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Global Perhubungan Pelanggan bagi Finastra, Eric Duffaut berkata, usaha sama yang dilaksanakan dengan Silverlake membuka peluang yang unik untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan modal kerja perdagangan dari depan ke belakang yang bertaraf dunia di serata ASEAN.
"Kelebihan Silverlake dan Finastra masing-masing adalah saling melengkapi di mana ia membolehkan kami meluaskan jangkauan ke lebih banyak lagi institusi kewangan di rantau ini, membantu mempercepatkan transformasi digital, mendorong pertumbuhan mereka dan memacu daya saing," katanya. - DagangNews.com








