Setelah ditolak Malaysia, HAL intai peluang ke Filipina untuk bekalkan pesawat tempur Tejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setelah ditolak Malaysia, HAL intai peluang ke Filipina untuk bekalkan pesawat tempur Tejas

Pesawat tempur ringan Tejas buatan India.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 31 Okt - Walaupun berdepan saingan sengit, namun usaha terus dilakukan firma aeroangkasa India, Hindustan Aeronautics Limited (HAL) untuk memastikan pesawat buatannya, Tejas menembusi pasaran antarabangsa.

 

HAL ketika ini mengintai peluang untuk memikat Filipina bagi membekalkan pesawat tempur ringan itu untuk program pemodenan kuasa udara negara berkenaan.

 

Ini menjadikan Filipina sebagai negara kedua di Asia Tenggara untuk ditawarkan pesawat Tejas selepas usaha memikat Malaysia sebelum ini tidak berjaya.

 

Sejak tiga tahun lalu HAL dilihat agresif untuk memasarkan pesawat tempur ringan Tejas kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malah lebih menonjol berbanding pesaing lain.

 

Tejas
Sehingga kini pesawat Tejas masih belum berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

 

Tejas

 

Pada satu peringkat, HAL sangat yakin TUDM akan memilih 18 buah pesawat Tejas sebagai aset terbaharu sebelum persaingan tersebut akhirnya kecundang kepada Korea Selatan.

 

Terlepasnya peluang HAL untuk mendapatkan perolehanan kira-kira RM4 billion dari Malaysia menampakkan firma tersebut perlu segera mencari negara pengganti lain.

 

Sebelum ini, HAL juga tidak berjaya untuk memasarkan Tejas kepada Argentina berikutan sekatan penjualan pertahanan yang masih dikenakan ke atas negara tersebut.

 

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Argentina untuk memodenkan tentera udaranya, yang bergantung pada armada pejuang yang semakin tua.

 

Dhruv
Filipina dikatakan berminat untuk mendapatkan Advance Light Helicopter buatan HAL.

 

Bagi memikat Filipina, HAL telah menghantar satu pasukan pakarnya ke sana untuk memberi taklimat tentang perkembangan terbaharu Tejas.

 

Selain pesawat tempur ringan, potensi HAL di Filipina ialah pada pesawat MkIII Advance Light Helicopter yang sebelum ini diminati pasukan pegawal pantai negara itu.

 

Cuma peluang untuk Tejas dilihat mencabar memandangkan terpaksa bersaing dengan dua calon lain iaitu pesawat SAAB Gripen JAS-39C/D dari Sweden dan F-16V Blok 50/52 Amerika Syarikat.

 

Jabatan Pertahanan Filipina sebelum ini juga mengeluarkan kenyataan bahawa pesawat Gripen telah berada dalam senarai pendek selain mendapat lampu hijau Sweden untuk dijual.

 

Jas
Pesawat Gripen JAS-39

 

Filipina melancarkan tender progam pesawat tempur pelbagai peranan (MRF) pada 2018 sebagai sebahagian daripada program pemodenan angkatan tentera Horizon Dua.

 

Jumlah bajet yang telah diluluskan ialah sebanyak AS$1.11 bilion.

 

Pembelian 12 jet pejuang terbaharu generasi keempat atau lebih tinggi ini akan menggandakan kemampuan Filipina untuk menggantikan pesawat Northrop F-5 Tiger.

 

Selain membeli pesawat baharu, Filipina juga mempunyai opsyen lain iaitu dengan menaik taraf keupayaan kesemua 12 buah pesawat FA-50PH sedia ada.

 

Usa
Pesawat F-16.

 

Korea Aerospace Industries (KAI), pengeluar pesawat berkenaan telah mengemukakan tawaran untuk meningkat upaya FA-50PH sebagai pilihan kos efektif untuk memodenkan tentera udara Filipina.

 

Ini untuk menjadikannya mampu menjalankan misi serangan darat, udara ke laut dan udara ke udara. 

 

Opsyen tersebut termasuk melengkapkan pesawat ini dengan sistem radar dan sistem penjejak sasaran bersama dengan tangki bahan api luaran.

 

Cumanya, pada pihak Filipina pula negara itu melanjutkan lagi tempoh masa perolehan pesawat MRF ini apabila peruntukan mengenainya adalah pada fasa Horizon 3 iaitu antara tahun 2023 hingga 2028.

 

Pinay
Filipina ditawar untuk meningkatkan keupayaan pesawat FA-50PH sedia ada.

 

Spesifikasi pesawat serta kuantiti juga dikatakan telah disemak semula tetapi data sebenar belum dimaklumkan.

 

Jika melihat pada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak yang bersaing, nampaknya peluang Tejas untuk memikat Filipina masih samar-samar.- DagangNews.com