Seremban Engineering, NS Corporation tubuh usaha sama bangunkan tanah konsesi Jeti Arang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Seremban Engineering, NS Corporation tubuh usaha sama bangunkan tanah konsesi Jeti Arang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Seremban Engineering Berhad telah memeterai perjanjian usaha sama dengan NS Corporation untuk cadangan pembangunan tanah konsesi Jeti Arang di Port Dickson.

 

NS Corporation telah ditubuhkan pada 2019 sebagai badan berkanun negeri dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaburan dan hal ehwal ekonomi Negeri Sembilan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Seremban Engineering berkata ia akan memegang 80% kepentingan, manakala NS Corp memegang baki 20%.

 

Kedua-dua pihak juga telah menandatangani perjanjian langganan dan pemegang saham (SHA) untuk pemerbadanan syarikat baharu bagi melaksanakan usaha sama tersebut.

 

Kumpulan itu berkata usaha sama itu sejajar dengan objektif strategiknya untuk mengembangkan dan mempelbagaikan operasi perniagaan untuk pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan.

 

“Ini bertujuan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat, sekali gus mengurangkan potensi kesan negatif terhadap industri perniagaan tradisionalnya.

 

“Tambahan pula, jika usaha sama itu menjadi kenyataan, ia akan mewujudkan peluang kepada syarikat untuk meningkatkan pendapatan kewangannya melalui kejayaan pelaksanaan projek pembangunan,” katanya.

 

Menurut kumpulan itu, usaha sama tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas jumlah modal saham terbitan syarikat dan kepentingan pemegang sahamnya yang besar.

 

Cadangan itu juga tidak dijangka mempunyai kesan material ke atas aset bersih dan/atau pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23).

 

“Syarikat berhasrat untuk membiayai usaha sama melalui sama ada dana yang dijana secara dalaman, pinjaman bank dan/atau gabungannya yang belum dimuktamadkan.

 

“Oleh itu, kesan usaha sama ke atas penggearan kumpulan adalah bergantung kepada pemenuhan syarat-syarat seterusnya dan tidak dapat dipastikan pada tarikh pengumuman ini,” tambahnya. -DagangNews.com