Serba Dinamik mohon lanjutan masa hingga 5 Januari 2024 untuk serahkan pelan penyusunan semula | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik mohon lanjutan masa hingga 5 Januari 2024 untuk serahkan pelan penyusunan semula

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - Serba Dinamik Holdings Berhad sekali lagi memohon kepada Bursa Securities untuk mendapatkan lebih masa bagi menyerahkan pelan penyusunan semulanya dengan melanjutkan tarikh akhir 5 Julai 2023 kepada 5 Januari 2024.

 

Syarikat bagaimanapun tidak menyatakan sebab mereka tidak dapat memenuhi tarikh akhir 5 Julai. 

 

Serba Dinamik pada asalnya sepatutnya menyerahkan pelan itu pada Januari tahun ini, tetapi diberikan lanjutan enam bulan.

 

Bulan lalu, Serba Dinamik berkata, mereka sudah melantik Baker Tilly Insolvency PLT sebagai perunding penstrukturan semulanya, dengan Dennis Nik & Wong sebagai peguam penstrukturannya. 

 

Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu juga berkata, mereka sedang melantik penasihat utama untuk pelan penyelarasannya yang masih dalam perangkaan.

 

Pada bulan sama, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM972.91 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23), kerugian selama tujuh suku berturut-turut.

 

Syarikat itu menyalahkan kerugian bersih besar-besaran 3QFY23 atas kemerosotan nilai belum terima perdagangan berjumlah RM865.1 juta, berpunca daripada projek yang tidak dapat diselesaikan oleh syarikat.

 

Kerugian bersih syarikat ialah RM434.19 juta pada 3QFY22, oleh itu, kerugian sesaham meningkat kepada 26.1 sen pada 3QFY23, daripada 11.7 sen pada 3QFY22.

 

Hasil suku tahunan susut 97% kepada RM6.18 juta daripada RM205.48 juta setahun lalu, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada semua bahagian perniagaan.

 

Serba Dinamik jatuh ke status PN17 pada 6 Januari tahun lepas, selepas juruaudit luarnya Nexia SSY PLT menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.

 

Saham Serba Dinamik telah digantung pada 23 Disember 2022, berikutan kegagalan syarikat menyerahkan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022. - DagangNews.com