KUALA LUMPUR 29 Mac - Berang dengan laporan The Edge pada 26 Mac lalu, Serba Dinamik Holdings Bhd. menyifatkan ia bersifat prejudis terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu.
Malah, Serba Dinamik juga menegaskan artikel bertajuk 'What Serba Dinamik did not want you to know' yang diterbitkan itu adalah tidak tepat dan sengaja tidak lengkap sekali gus mempersoalkan sejauh mana kredibiliti laporan berkenaan kerana tidak menggambarkan isu sebenar.
Serba Dinamik mengingatkan sekali lagi portal berbahasa Inggeris itu bahawa Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EYC) yang sepatutnya menjawab apa yang telah mereka nyatakan dalam laporan kemas kini penemuan fakta (FFU).
"Namun, setakat ini, tiada tanda-tanda bahawa The Edge mendapatkan sebarang pengesahan dengan EYC, malah, FFU juga kekal tidak ditandatangani, sebaliknya Serba Dinamik pula telah diletakkan dalam situasi yang buruk," jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Pelantikan EYC dibuat setelah KPMG meletakkan jawatan sebagai juruaudit pada 24 Jun 2021 selepas disaman Serba Dinamik.
Pada akhir Jun dan awal Julai, Bursa Securities mengarahkan pelantikan EYC selepas menyemak dan memuktamadkan terma penglibatan, yang secara mutlak menyatakan bahawa tiada laporan interim (termasuk FFU) akan disediakan oleh EYC, malah untuk Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Securities.

Menurut Serba Dinamik, antara Julai dan September 2021, EYC telah hadir ke SC dan merangka FFU, tetapi EYC merahsiakan daripada Serba Dinamik bahawa FFU telah diberikan kepada SC dan Bursa Securities.
"Fakta ini hanya didedahkan pada penghujung Oktober 2021. Menjelang 22 Oktober 2021, Bursa Securities mengarahkan Serba Dinamik untuk mengumumkan FFU, dokumen yang tidak dimilikinya ketika itu.
"Pada 22 Oktober 2021, pihak bursa mengarahkan Serba Dinamik untuk mengumumkan FFU pada ketika ia sendiri belum mempunyai salinannya.
"Arahan ini diikuti dengan penggantungan serta-merta dagangan sekuriti yang masih kekal hingga ke hari ini.
"EYC mengaku telah melepaskan FFU kepada SC pada atau 11 Oktober 2021 walaupun secara nyata mengaku dalam surat libat urus mereka bahawa mereka tidak akan melakukan perkara sedemikian," katanya.
Surat libat urus EYC menunjukkan bahawa mereka boleh dilantik di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama 2.24 (MMLR) walaupun mereka sebenarnya bukan juruaudit.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Februari 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa EYC adalah juruaudit, walaupun ia bukan tertakluk kepada saman yang difailkan oleh Bursa Securities.
Menerusi saman berasingan yang difailkan oleh Serba Dinamik mengenai perkara itu ialah sama ada EYC adalah juruaudit, Mahkamah Tinggi telah bersetuju bahawa EYC bukan juruaudit tetapi mereka mempunyai perjanjian dengan juruaudit berlesen.
"Implikasinya, Serba Dinamik tidak boleh menganggap surat libat urus yang dikeluarkan EYC sebagai tidak sah," jelasnya lagi.

Memandangkan Serba Dinamik tidak menyediakan laporan FFU, dan telah dipaksa oleh Bursa Securities untuk mengumumkannya, EYC telah dijemput oleh Serba Dinamik untuk menandatangani FFU mereka tetapi EYC enggan melakukannya.
Bursa Securities juga meminta Serba Dinamik untuk mendapatkan persetujuan EYC untuk membenarkan pengumuman FFU, yang mana EYC telah memberi reaksi bahawa ia bukan masalah mereka.
Kemudiannya, pihak bursa memfailkan prosiding mendesak pengumuman FFU atas dasar bahawa ia harus diumumkan kerana laporan itu wujud.
"Kini nampaknya begitu mudah untuk mensensasikan bahawa Serba Dinamik yang tidak mahu sesiapa melihat laporan FFU ini.
"Adalah menjadi pendirian Serba Dinamik bahawa apa yang EYC perlu lakukan ialah menandatangani FFU dan kemudian menjawab soalan mengenainya (termasuk dari The Edge).
"Apa yang dilaporkan The Edge menunjukkan bahawa Serba Dinamik menyembunyikan sesuatu apabila portal ini memainkan peranan penting dalam mencipta naratif yang mengelirukan.
"Sebaliknya, apa yang tidak diberi penekanan adalah keengganan EYC menandatangani FFU, EYC tidak menyediakan sebarang laporan interim, manakala SC dan Bursa Securities pula sepatutnya tidak diberikan mana-mana FFU," katanya.
Serba Dinamik menegaskan, perkara penting yang mesti diselesaikan SC, Bursa Securities, EYC dan The Edge ialah - SC telah mendakwa Serba Dinamik dan 4 individu berikutan kenyataan palsu mengenai hasil RM6 bilion.
Bagaimanapun, katanya, SC hanya mendakwa seorang individu berhubung kenyataan rekod palsu, berhubung satu anak syarikat sedangkan anak syarikat itu tidak pernah dan tidak boleh menghasilkan hasil RM6 bilion.
"SC tidak membangkitkan dakwaaan berhubung rekod anak syarikat lain yang mungkin menyumbang kepada RM6 bilion yang dilaporkan dalam penyata kewangan suku tahunan Disember 2020.
"Artikel The Edge mengenal pasti pelbagai jumlah, yang mana tidak berjumlah RM6 bilion, tidak kira bagaimana ia ditambah," katanya.
Menurutnya lagi, SC buat masa ini, masih belum mengemukakan atau menyediakan dokumen yang membolehkan Serba Dinamik dan pengurusannya membela diri.
"Namun, The Edge telah terlibat dalam melaporkan pelbagai dakwaan perbuatan salah oleh Serba Dinamik secara 'fait accompli'.
"Dalam hal ini, Serba Dinamik menjangkakan SC akan meneruskan perbicaraan pertuduhan dengan pantas," jelasnya. - DagangNews.com








