SEMICON kembali ke Pulau Pinang Jun ini, selepas 2 tahun tertangguh akibat COVID-19 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SEMICON kembali ke Pulau Pinang Jun ini, selepas 2 tahun tertangguh akibat COVID-19

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kemampanan dan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor akan menjadi tumpuan apabila SEMICON Southeast Asia kembali ke Pulau Pinang selepas berehat selama 2 tahun akibat pandemik COVID-19.

 

Acara yang menghimpunkan pemain industri semikonduktor dan mikroelektronik ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE & Arena mulai 21 hingga 23 Jun ini.

 

Presiden SEMI Southeast Asia Pte. Ltd., Linda Tan berkata, peningkatan penggunaan awan, 5G, ketersambungan kenderaan dan pendigitalan telah mewujudkan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Katanya, sebagai tulang belakang di dunia, industri semikonduktor mesti mengekalkan keseimbangan permintaan dan bekalan yang mampan untuk memastikan daya tahan dan fleksibiliti rantaian bekalannya.

 

"Wawasan dalam rangkaian rantaian bekalan bersepadu adalah penting bagi membolehkan industri mengenal pasti dan mengurus sebarang gangguan.

 

"Jadi, SEMICON Southeast Asia 2022 akan menyelidiki perkara ini dan banyak lagi di samping meneruskan tanggungjawab untuk menyokong pemain industri di Malaysia dan di seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Bertemakan Forward as One – Building A Resilient and Sustainable Electronics Supply Chain in Southeast Asia, acara tersebut akan menghimpunkan kepakaran industri dalam perkembangan terkini, inovasi dan trend merentasi rantaian bekalan semikonduktor.

 

Syarikat peralatan pembuatan semikonduktor, rakan kerjasama swasta-awam dan pemain industri akan berhubung untuk meneroka peluang kerjasama dan pertumbuhan baharu.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, industri elektrik dan elektronik (E&E) merupakan tunjang dan kekuatan subsektor pembuatan Malaysia.

 

"Katanya, sektor tersebut telah berkembang dengan pesat, dipercepatkan lagi oleh permintaan bagi semikonduktor dan cip semasa pandemik COVID-19.

 

“MIDA terus menghargai kerjasama ini memandangkan pendedahan kepada trend baharu muncul dan peluang rangkaian industri yang ditawarkan dan diperoleh ketika acara SEMICON sebelum ini, adalah penting kepada pemain industri E&E kami yang terkemuka,” katanya. - DagangNews.com