Semakan semula dasar minyak masak Indonesia negatif kepada syarikat perladangan Malaysia - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Semakan semula dasar minyak masak Indonesia negatif kepada syarikat perladangan Malaysia - CGS CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Mac - Langkah kerajaan Indonesia memberi subsidi minyak masak pukal menggunakan levi eksport minyak sawit mentah (MSM) dan menghapuskan harga siling minyak masak berjenama mulai 1 April  dilihat negatif kepada syarikat perladangan Malaysia.

 

Menurut CGS-CIMB Research, perubahan dasar itu akan mendorong bekalan eksport yang lebih tinggi dari Indonesia beberapa bulan akan datang dan ini boleh melemahkan harga MSM dalam pasaran antarabangsa.

 

Jelasnya, prestasi eksport Indonesia menunjukkan trend rendah sejak obligasi pasaran domestik (DMO) dan permit eksport diperkenalkan pada 27 Januari 2022. 

 

Bagaimanapun, katanya, pada 9 Mac 2022, harga MSM dalam pasaran niaga hadapan meningkat 8.8% selepas kerajaan mengumumkan untuk meningkatkan peratusan DMO kepada 30% daripada 20% sebelum itu berkuat kuasa 10 Mac.

 

"Perkembangan terbaharu yang diumumkan di Indonesia ini berkemungkinan negatif kepada syarikat perladangan Malaysia kerana harga MSM boleh mengundur ke belakang jika peraturan permit eksport Indonesia dilonggarkan.

 

"Tambahan pula, kebanyakan harga niaga hadapan minyak sawit susut 13% sejak 9 Mac lalu kepada RM5,805 satu tan metrik (apabila DMO dinaikkan kepada 30%).

 

"Kami melihat kejatuhan harga ini disebabkan kebimbangan terhadap kemusnahan permintaan di tengah-tengah harga MSM yang tinggi dan perintah sekatan pergerakan di China," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu juga berpendapat, pembetulan harga MSM juga disebabkan aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah penurunan harga minyak mentah, susut 8.6% sejak 9 Mac lalu.

 

Ini berikutan terdapat perkembangan dalam rundingan keamanan antara Rusia dan Ukraine dan jangkaan bekalan eksport yang lebih tinggi dari Indonesia.

 

Mengenai langkah yang diambil Indonesia itu, CGS-CIMB berkata, sekiranya ia berjaya memulihkan bekalan minyak masak berjenama dan pukal di pasaran domestik, kerajaan akan menghentikan obligasi harga domestik (DPO) semasa dan melonggarkan peraturan DMO serta permit eksport. 

 

Katanya, ini kerana subsidi untuk mekanisme minyak masak akan menggantikan keperluan DPO untuk menjual MSM pada harga di bawah pasaran kepada pengeluar minyak masak tempatan.

 

"Sudah tentu ini satu perkembangan positif kepada syarikat perladangan Indonesia dan pengeksport kerana mereka tidak lagi perlu menjual 30% daripada pengeluaran/eksport mereka pada 9,300 rupiah per kilogram yang ditetapkan kerajaan untuk memperoleh permit eksport bagi produk minyak sawit. 

 

"Selain itu, jika bekalan minyak masak dipulihkan sepenuhnya berikutan penyingkiran harga siling minyak masak berjenama, hanya terdapat sedikit sahaja sebab untuk mengekalkan peraturan permit eksport," katanya.

 

Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartato sebelum ini berkata, harga siling bagi minyak masak pukal akan dinaikkan kepada 14,000 ruiah seliter daripada 11,500 rupiah seliter sebelum ini dengan subsidi diberikan mulai 1 April sehingga akhir tahun.

 

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan dana levi minyak sawit untuk mengekalkan harga siling minyak masak pukal pada 14,000 rupiah seliter.

 

Mengambil kira semua faktor ini, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya adalah Dharma Satya Nusantara, First Resources Ltd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. - DagangNews.com