Sektor telekomunikasi masih dipengaruhi ketidaktentuan 5G, RHB Research kekal pandangan 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor telekomunikasi masih dipengaruhi ketidaktentuan 5G, RHB Research kekal pandangan 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Jun - RHB Securities Research masih mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi memandangkan ia masih dipengaruhi ketidaktentuan dalam pelancaran 5G.

 

Kerajaan pada Mac lalu memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN), dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB).

 

Susulan itu, kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong. 

 

Namun, penganalisis RHB Research, Jeffrey Tan berkata, sehingga kini belum ada kepastian bahawa 4 syarikat utama telekomunikasi (Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile) akan menandatangani perjanjian borong 5G atau memperoleh pegangan individu dalam DNB terutama menjelangnya tarikh akhir akhir pada Jun seperti ditetapkan sebelum ini.

 

Katanya, ekoran ketidaktentuan 5G ini, saham-saham syarikat telekomunikasi telah merosot sehingga 23% setakat ini. 

 

"Kebuntuan mengenai SWN terus mempengaruhi sektor ini, dengan syarikat telekomunikasi Malaysia buat masa ini mencatat prestasi terburuk dalam kalangan syarikat telekomunikasi ASEAN-4 (Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut beliau, antara perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati mereka termasuklah struktur harga borong (perjanjian 10 tahun), keupayaan untuk 'mempengaruhi' pembuatan keputusan dan mewajarkan pelaburan mereka tanpa kepentingan majoriti dalam DNB.

 

"Ketika taklimat prestai kewangan suku pertama baru-baru ini, Axiata Group Bhd. menyatakan ia sepatutnya dapat memenuhi tarikh akhir ditetapkan. 

 

"Tetapi, ia juga tidak pasti sama ada kerajaan akan bertolak ansur dengan cadangan syarikat telekomunikasi untuk mempunyai kawalan majoriti dalam DNB, dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, tan Sri Annuar Musa berkata, bahawa perkara itu masih belum diputuskan," jelasnya.

 

Pada 26 Mei lalu, Annuar Musa juga menegaskan tarikh akhir itu kekal kerana kerajaan tidak boleh terus tawar-menawar yang akan mengakibatkan DNB sukar melangkah ke hadapan dan DNB berhadapan tekanan untuk memastikan ia mampu untuk melaksanakannya dalam rangka masa ditetapkan.

 

DNB ditubuhkan pada awal Mac 2021 untuk mempercepatkan penyediaan prasarana dan rangkaian 5G di Malaysia. 

 

Ia akan menawarkan 5G sebagai sebuah perkhidmatan rangkaian borong kepada syarikat telekomunikasi lain.

 

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, Tan berkata, kesemua syarikat telekomunikasi di bawah liputannya (termasuk syarikat perkhidmatan infrastruktur) mempamerkan pendapatan teras dalam jangkaan dengan kecuali Digi.Com Bhd. yang merekodkan pendapatan sederhana.

 

"Pendapatan sektor secara agregat meningkat 2.8% tahun ke tahun pada suku berkenaan dengan pendapatan talian tetap (sekali lagi) mengatasi rangkaian mudah alih, pada 5.3% berbanding 1.5%.

 

"Agregat pendapatan teras sektor bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dianggarkan merosot kira-kira 9% (FY21: 12%) disebabkan terutamanya oleh Cukai Makmur. Tetapi, ia akan melantun semula kira-kira 16% pada FY23," katanya.

 

Secara keseluruhan, RHB Research meletakkan Telekom Malaysia Bhd. (TM), Time Dotcom Bhd. dan OCK Group Bhd. sebagai pilihan utama sektor telekomunikasi dengan masing-masing diberi saranan 'beli' pada harga sasaran RM7.80, RM5 dan 56 sen sesaham. - DagangNews.com