KUALA LUMPUR 18 Julai - Trend aliran keluar dana asing berterusan buat minggu keenam berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih sederhana pada minggu lalu, dengan hanya RM28 juta memandangkan dagangan yang lebih pendek susulan cuti Hari Raya Aidiladha pada Isnin.
Pada minggu sebelumnya, ia mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM120.55 juta, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research.
Pelabur asing muncul pembeli bersih ekuiti pada Selasa dan Khamis dengan masing-masing sebanyak RM21.9 juta dan RM49.6 juta, yang secara tidak langsung memperlahankan aliran keluar pada Rabu sebanyak RM81.9 juta manakala Khamis, RM17.6 juta.
"Tiga sektor utama yang menyaksikan aliran keluar bersih oleh pelabur asing paling tinggi ialah produk perindustrian dan perkhidmatan (RM51.7 juta), teknologi (RM40.4 juta) dan perladangan (RM22.3 juta).
"Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih paling tinggi ialah penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan produk pengguna dan perkhidmatan dengan masing-masing berjumlah RM71.7 juta, RM35.5 juta dan RM16.6 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Firma itu berkata, pelabur institusi tempatan kembali menjual bersih ekuiti pada minggu berakhir 15 Julai itu pada kadar RM25.1 juta selepas membeli bersih ekuiti selama dua minggu.
Mereka menjual ekuiti pada Selasa dan Khamis masing-masing sebanyak RM60.4 juta dan RM48.5 juta, yang secara tidak langsung memperlahankan pembelian bersih pada Rabu sebanyak RM47.9 juta manakala Jumaat, RM36 juta.
Pelabur runcit pula, katanya, mengekalkan pembelian ekuiti untuk minggu keenam akan datang, berjumlah RM53.1 juta.
Sebanyak RM72.5 juta ekuiti dibeli pada Selasa dan Rabu sebelum menjual bersih RM19.5 juta dalam tempoh dua hari berikutnya.
Menurut MIDF Research, dana antarabangsa setakat ini merupakan pembeli bersih ekuiti selama 17 minggu daripada 28 minggu dengan aliran masuk berjumlah RM5.94 bilion.
"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan merupakan penjual bersih ekuiti selama 21 minggu dengan mencatat aliran keluar sebanyak RM7.84 juta.
"Pelabur runcit pula telah membeli RM1.9 bilion selama 19 minggu daripada 28 minggu setakat tahun ini," katanya.
Dari segi penyertaan pelabur, terdapat penurunan nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam semua kategori pelabur.
Pergerakan pelabur runcit susut 26.26% manakala pelabur institusi tempatan dan asing juga masing-masing menurun 25.51% dan 25.94%. - DagangNews.com








