KUALA LMPUR 16 Ogos - Sektor perkhidmatan dan pembuatan menjadi antara pendorong utama kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9% pada suku kedua 2024 (2Q24), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.9% pada 2Q24 berbanding 4.8% pada suku sama tahun lalu.
Kata beliau, prestasi memberangsangkan ini disumbangkan subsektor perdagangan borong & runcit (4.8%), kewangan & insurans (10.1% ) dan pengangkutan & penyimpanan (10.5%).
"Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor perkhidmatan meningkat 3.3% (1Q 2024: 1.3%)”.
"Sektor pembuatan pula bertumbuh sebanyak 4.7% (1Q 2024: 1.9%) pada suku tahun ini.
"Peningkatan ketara ini disebabkan oleh industri berorientasikan eksport seperti produk petroleum, kimia, getah & plastik (4.1%) dan produk elektrik, elektronik dan optikal (3.0%)," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, kata Dr Mohd Uzir, industri berorientasikan domestik seperti produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan masing-masing meningkat 9.4% dan 5.6%.

Beliau yang juga Ketua Perangkawan Malaysia berkata, bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor pembuatan meningkat sebanyak 3.1% (1Q 2024: 2.4%).
"Sektor pembinaan meningkat sebanyak 17.3% (1Q 2024: 11.9%) pada 2Q 2024. Pengembangan ini didorong oleh pertumbuhan positif dalam semua subsektor, khususnya dalam aktiviti pembinaan pertukangan khas (27.0%), kejuruteraan awam (23.6% ) dan bangunan kediaman (14.1%).
"Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor ini meningkat 8.7% (ST1 2024: 7.9%)," jelasnya.
Menurut Dr Mohd Uzir, di samping itu, sektor pertanian melonjak kepada 7.2% (1Q 2024: 1.7%) disokong oleh subsektor kelapa sawit (19.0%).
Namun begitu, katanya, ternakan dan perikanan laut menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik pada suku tahun ini.
"Sektor ini pulih kepada 1.6% (1Q 2024: -0.7%) bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun.
"Sektor perlombongan & pengkuarian bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 2.7% (1Q 2024: 5.7%) pada suku tahun kedua 2024 dipengaruhi oleh subsektor gas asli yang meningkat sebanyak 2.9% (1Q 2024: 9.0%)," ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, subsektor minyak mentah & kondensat terus meningkat 1.6% (1Q 2024: 1.3%) manakala bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor ini menurun 4.0% (1Q 2024: -1.4%).
Mengulas lanjut, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah yang menyumbang 60.7% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), meningkat 6.0% (1Q 2024: 4.7%).
Katanya, ini disebabkan oleh penggunaan yang lebih tinggi dalam makanan dan minuman bukan alkohol (7.2%), diikuti oleh pengangkutan (8.9%) dan restoran & hotel (10.5%).
"Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, prestasi keseluruhan Perbelanjaan penggunaan akhir swasta mencatatkan peningkatan sebanyak 4.5% (1Q 2024: 1.8%)," ujarnya..- DagangNews.com








