Sektor penerbangan akan merekodkan pemulihan trafik di Malaysia lebih kukuh mulai 2024 - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penerbangan akan merekodkan pemulihan trafik di Malaysia lebih kukuh mulai 2024 - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Jan - Pemulihan trafik penumpang Malaysia dijangka disokong terutamanya  pengaktifan semula baki 50% pesawat AirAsia Malaysia yang masih belum menerima sijil kelayakan udara.

 

MIDF Research berkata, ia amat penting memandangkan syarikat penerbangan itu secara dasarnya mempunyai bahagian pasaran kira-kira 40% dari segi penumpang yang dibawa.

 

Namun begitu, firma itu tetap berhati-hati dengan kekangan dari aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang berlarutan disebabkan tempoh menunggu yang lama dan sebahagiannya disebabkan oleh isu rantaian bekalan alat ganti di kemudahan tersebut.

 

Selain itu, perkhidmatan pemulihan armada juga adalah mahal, dengan purata AS$300,000 bagi setiap pesawat untuk AirAsia. 

 

Pada masa sama, pergerakan trafik di peringkat domestik juga akan ditarik sebahagiannya oleh MYAirline, yang kini menggunakan armada kecil 4 pesawat untuk memenuhi 8 destinasi tempatan.

 

"Berbanding tahap 2019, kami kini menjangkakan trafik penumpang Malaysia pada 2023 akan kembali pulih kepada paras 85% (domestik: 90%, antarabangsa 80%) daripada unjuran 95% (domestik: 100%, antarabangsa: 90%) sebelum ini.

 

"Penurunan semakan ini disebabkan terutamanya operasi semula pesawat AirAsia Malaysia yang lebih perlahan daripada jangkaan yang telah meleset daripada sasaran awal sebanyak 65 pesawat menjelang akhir tahun lalu kepada hanya 53 pesawat.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pertumbuhan trafik yang lebih kukuh mulai 2024 dan seterusnya apabila syarikat penerbangan Malaysia membina semula armada mereka seawal suku kedua 2023," katanya.

 

 

mahb

 

 

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan sejumlah 52.7 juta penumpang untuk rangkaian lapangan terbang tempatan yang dikendalikannya bagi tempoh Januari hingga Disember 2022.

 

Momentum pemulihan pergerakan penumpang domestik berterusan pada 2022 selepas pemansuhan sekatan perjalanan antara negeri pada 11 Oktober 2021, merekodkan 36.2 juta penumpang untuk tahun itu, mencecah 69.6% daripada tahap 2019.

 

Bagi Disember 2022, MAHB mencatatkan pergerakan penumpang dengan rekod tertinggi bagi operasinya di Malaysia dengan 6.8 juta penumpang.

 

Menurut MIDF Research, pelancongan antarabangsa akan menjadi tumpuan tahun ini apabila subsegmen bukan ASEAN semakin meningkat.

 

Ini berdasarkan kepada Sektor Asia Timur Laut yang baru dibuka semula secara kolektif menyumbang sebanyak 25% daripada penumpang antarabangsa di KLIA pada 2019.

 

Lebih banyak pesawat yang dipulihkan dalam perkhidmatan serta kemasukan semula syarikat penerbangan asing akan menyokong permintaan perjalanan yang semakin kukuh.

 

Tambahan pula, katanya, 8 lagi syarikat penerbangan asing telah menyambung semula operasi mereka di Malaysia tahun lalu, menjadikan jumlah syarikat penerbangan asing yang beroperasi kepada 56 daripada 68 syarikat.

 

"Dalam jangka panjang, trafik penumpang di Malaysia dijangka terus berkembang apabila syarikat penerbangan tempatan meningkatkan kekerapan penerbangan dan memperkenalkan laluan baharu, disokong oleh penghantaran pesanan pesawat," jelasnya.

 

 

airasia

 

 

Firma itu berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mendapati laluan ke China merangkumi 10% daripada penumpang trafik Malaysia pada 2019.

 

"Disebabkan dasar sifar COVID-19 di negara itu yang dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan, kemasukan semula pelancong China ke Malaysia mungkin akan berlaku secara berperingkat-peringkat.

 

"Ini disebabkan China sedang berdepan jangkitan COVID-19 secara besar-besaran, pengembara ke China masih dikehendaki mengemukakan ujian PCR negatif, pembaharuan pasport dan proses kelulusan visa mungkin mengambil masa dan syarikat penerbangan masih dalam proses memulihkan kapasiti," katanya.

 

Namun, secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor penerbangan sejajar dengan pembukaan semula China.

 

Malah, ia menjangkakan untuk melihat campuran penumpang antarabangsa yang bertambah baik tahun ini, yang sepatutnya membantu pemain sektor penerbangan kembali membina keuntungan daripada hasil penumpang yang tinggi.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap MAHB dan Capital A Bhd. dengan harga sasaran masing-masing pada RM7.45 dan 70 sen sesaham. 

 

"Kami menjangkakan MAHB akan kembali mencatat untung tahun ini manakala Capital A pula berupaya mengecilkan lagi jumlah kerugiannya," katanya.- DagangNews.com