KUALA LUMPUR 2 Mac - Keuntungan bersih teras Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) diunjurkan meningkat 3.4% pada tahun kewangan 2023 dan 3.1% pada 2024 berikutan beberapa pelarasan pengemasan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma itu juga meramalkan pendapatan Sunway REIT adalah sebanyak RM375 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Firma penyelidikan itu optimis terhadap prospek tahun kewangan 2023 (FY23) berikutan pelbagai aspek yang dilihat positif seperti segmen runcit yang dijangka kekal aktif memandangkan perolehan sewa adalah mampan dan peningkatan kedatangan pelancong asing.
Perolehan sewa kekal kukuh dengan jualan sewaan melebihi paras pra-pandemik dan firma itu menegaskan bahawa prestasi runcit berkemungkinan kekal memberangsangkan pada 2023 berikutan peningkatan kedatangan pelancong antarabangsa.
Sementara itu, pemulihan segmen hotel didorong oleh sektor pelancongan yang beransur-ansur meningkat dengan kapasiti buruh di tahap selesa dan kedatangan pelancong kembali ke tahap pra-pandemik di samping pembukaan semula Sunway Resort Hotel yang sepatutnya berpeluang menyumbang kepada segmen tersebut.
Menurut firma itu, segmen hotel Sunway REIT akan meningkat lebih tinggi terutamanya disebabkan kedatangan pelancong China serta terdapat peningkatan minimum dalam kos buruhnya berbanding 2019.
“Aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di hotel dijangka bertambah baik apabila syarikat korporat kembali menganjurkan acara secara fizikal.
“Segmen pejabat dijangka mencatat pendapatan sewa yang positif, yang kami anggap boleh dipuji memandangkan pasaran pejabat yang lemah,” tambahnya di dalam nota hari ini.
Sementara itu, kadar penghunian Menara Sunway dijangka meningkat kepada 40% apabila Sunway Xfarms memulakan penyewaannya secara berperingkat, manakala Wisma Sunway dijangka tiada masalah dalam memperbaharui 78% kawasan boleh disewa bersih (NLA) untuk penyewa tunggal yang tamat tempoh pada FY23.
“Sunway REIT juga akan melupuskan bangunan Sunway Medical Centre pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) pada harga RM310 juta, meningkatkan nilai portfolio kepada kira-kira RM8.7 bilion,” katanya.
Oleh itu, HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM1.87 daripada RM1.68. -DagangNews.com








