KUALA LUMPUR 17 Jan - Seksyen 11 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) laluan dari Beruas ke Taiping (Selatan) akan dibuka kepada pengguna jalan raya sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dr Nadzrol Fadzilah Ahmad berkata LLM perlu memastikan lebuh raya ini selamat sebelum membukanya.
“Kami mempunyai sasaran dan kami tahu orang ramai tidak sabar untuk menggunakan laluan itu bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Bagaimanapun, faktor keselamatan adalah keutamaan kami.
“Kita tidak boleh membuka laluan tersebut sebelum Tahun Baharu Cina tetapi saya yakin ia boleh digunakan sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu suku pertama tahun ini,” katanya.
Nadzrol Fadzilah berkata demikian pada sidang media selepas menyertai lawatan ke tapak pembinaan Seksyen 11 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd, Lyndon Alfred Felix, lapor NST.
Ditanya sama ada pengguna jalan raya akan dikenakan bayaran tol sebaik sahaja ia dibuka, Nadzrol Fadzillah berkata seperti biasa, pengguna jalan raya boleh menjangkakan untuk menikmati tol percuma selama sebulan.
Ketika ditanya mengenai punca kelewatan pembukaan Seksyen 11, Lyndon menjelaskan bahawa kemajuan pembinaan telah mencapai 98% menjelang 31 Disember tahun lalu.
“Kami kini memasuki tahap pemeriksaan daripada LLM dan pembinaan bahagian ini telah mencapai 98 peratus siap.
“Ia kini melalui fasa ini (pemeriksaan) sebelum laluan ini boleh dibuka kepada semua pengguna jalan raya,” tambahnya.
Setakat hari ini, lima daripada keseluruhan 11 seksyen laluan lebuhraya WCE telah dibuka iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar-Assam Jawa) di Selangor, manakala Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Kg Lekir-Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Cermin Changkat-Beruas) di Perak.
WCE menghubungkan dua negeri iaitu Selangor dan Perak, memberi tumpuan kepada kawasan pantai barat termasuk Laluan Persekutuan.
Sementara itu, Saarani berkata kerja pembinaan di Seksyen 11 sudah pun dijalankan dan hampir siap sebelum dibuka.
“Lebuhraya ini penting kerana ia akan menjadi laluan strategik untuk meluaskan rangkaian pengangkutan, bukan sahaja antara bandar dan daerah tetapi juga jajaran Perak dengan pusat pertumbuhan ekonomi – bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang.
“Laluan ini juga penting kerana ia menjadi pemangkin kepada perancangan Perak untuk memacu pertumbuhan sosio-ekonomi di sepanjang pantai barat, selain mengubah landskap pelancongan Perak dengan memudahkan akses ke destinasi strategik, selaras dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024.
“Apabila dibuka nanti, pengguna jalan raya akan mempunyai laluan alternatif jalan sedia ada menuju ke kawasan pantai barat di Perak seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering dan Taiping,” katanya lagi. - DagangNews.com








