KUALA LUMPUR 7 April - Kadar sewa lama bagi pusat beli-belah di lokasi utama dijangka kekal tidak berubah dalam masa terdekat memandangkan penyewa memerlukan tempoh tertentu untuk memulihkan kembali jualan mereka ke tahap sebelum tercetusnya pandemik COVID-19.
AmInvestment Bank Research berkata, pemulihan dalam sektor peruncitan dan kedatangan pengunjung juga tidak mencerminkan penambahbaikan dalam kadar sewa lama di pusat beli-belah dalam tempoh ini.
Katanya, walaupun pembaharuan kadar sewa dijangka lebih stabil untuk pusat beli-belah popular di kawasan utama, tetapi kadar sewa lama untuk pusat beli-belah yang kurang ternama berkemungkinan menjadi negatif.
"Bagi pusat beli-belah yang lebih kecil ini, adalah penting untuk meningkatkan kadar penghunian menerusi kadar sewa yang menarik.
"Bagaimanapun, pusat beli-belah yang bergantung kepada sektor pelancongan dijangka mendapat manfaat daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan Pusat Maklumat Hartanah Negara (Napic), prestasi pusat beli-belah terus menyederhana pada 2021 dengan kadar penghunian bagi pusat beli-belah di Kuala Lumpur kekal menunjukkan aliran menurun berikutan peningkatan jumlah ruang runcit.
Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan indeks jualan runcit menerusi internet bagi Januari 2022 berkembang 20.5% tahun ke tahun, mencerminkan trend pengguna beralih kepada perbelanjaan menggunakan platform e-dagang.
Dalam pada itu, AmInvestment berkata, kadar sewa lama dan penghunian bagi segmen pejabat juga dijangka terus berdepan tekanan menurun disebabkan lebihan bekalan ruang pejabat yang semakin meningkat dan juga trend pengaturan kerja lebih fleksibel.
Katanya, prestasi segmen pejabat di Kuala Lumpur semakin perlahan memandangkan kadar penghunian jatuh kepada 73.3% pada 2021, manakala ruang pejabat berkembang 5.8% tahun ke tahun kepada 9,817.7 juta kaki persegi.
"Oleh itu, kami percaya pihak pengurusan sama ada perlu menawarkan kadar sewa yang lebih kompetitif atau memulakan inisiatif peningkatan aset untuk mengekalkan penyewa sedia ada dan menarik penyewa baharu untuk meningkatkan kadar penghunian di bangunan pejabat yang usang," jelasnya.
Bagi segmen hospitaliti pula, firma itu tidak menjangkakan pemulihan yang ketara memandangkan pelancong masih berhati-hati untuk memasuki Malaysia dengan kadar jangkitan COVID-19 masih melebihi 10,000 kes sehari.
Mengambil kira semua faktor tersebut, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap segmen REIT dengan pilihan utamanya bagi sektor itu ialah Sunway REIT. Ia memberi saranan 'beli' dengan nilai wajar pada RM1.66 sesaham. - DagangNews.com








