Segmen E&E jadi pemangkin bagi sektor pembuatan tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen E&E jadi pemangkin bagi sektor pembuatan tahun ini

KUALA LUMPUR 11 Mei - Segmen elektrik dan elektronik (E&E) dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan kepada sektor pembuatan bagi tahun ini. 

 

Menurut AmBank Research, segmen itu dijangka berkembang 15% di peringkat serantau, mendapat manfaat daripada jualan semikonduktor global yang masih kukuh yang diunjurkan berkembang sebanyak 13.6% pada 2022.

 

Katanya, antara faktor utama yang mendorong kepada pertumbuhan kukuh dalam segmen tersebut ialah kenaikan harga jualan purata (ASP) disebabkan kekurangan cip secara berterusan yang masih menjadi kebimbangan dalam beberapa sektor.

 

"Sebagai contoh, aplikasi automotif dijangka mengalami kekangan bekalan komponen, terutamanya dalam mikropengawal (MCU), litar bersepadu pengurusan kuasa (PMIC) dan pengawal selia voltan, berlanjutan hingga 2023. Oleh itu, ia akan terus mengalami ASP yang tinggi.

 

"Komputer berprestasi tinggi automotif (HPC), EV/HEV dan sistem bantuan pemandu termaju akan menerajui pertumbuhan dalam sektor elektronik automotif,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu melihat kekurangan cip akan terus menjadi kebimbangan bagi rantaian bekalan peralatan elektronik pada 2022.

 

Jelasnya, ia akan mempunyai kesan yang berbeza dalam pasaran peralatan elektronik utama bergantung kepada jenis peranti semikonduktor.

 

“Tetapi, kekangan bekalan komponen keseluruhan semikonduktor akan berkurangan secara beransur-ansur sepanjang tahun ini," jelasnya.

 

Pada Selasa, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.1% pada Mac 2022 berbanding dengan angka pada Mac 2021, dipacu oleh pertumbuhan 3 indeks, iaitu pembuatan, elektrik dan perlombongan.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan IPP pada 4.3% tahun ini, dengan aktiviti pengeluaran dijangka terus meningkat.

 

Katanya, ini memandangkan sektor pembuatan bertambah kukuh pada April 2022 dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) meningkat kepada 51.6.

 

"Pertumbuhan IPP yang dicatatkan Malaysia pada Mac merupakan yang terpesat dalam tempoh 3 bulan, sekali gus menambah baik jangkaan pasaran.

 

"Bagaimanapun, kami masih mengekalkan pandangan berhati-hati kerana perang di Ukraine dan sekatan pergerakan di China boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran Malaysia, terutama bagi sektor berorientasikan eksport," jelasnya.

 

Selain itu, menurutnya, peningkatan kos pengeluaran dan kekurangan bahan juga boleh menjejaskan unjuran pengeluaran tempatan.

 

"Namun, dari sudut positif, prospek bagi sektor berorientasikan domestik dijangka memberangsangkan susulan pembukaan semula ekonomi dan pelonggaran sekatan bagi mengekang penularan COVID-19," katanya. - DagangNews.com