KUALA LUMPUR 13 Julai – Rangka Tindakan Perumahan 3.0 menyasarkan untuk menyiapkan lagi 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di seluruh negara menerusi 5 fasa bermula 2023 hingga 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80% daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada 2 unit kepada 1 unit.
Pada masa sama, katanya, perabot lama yang telah rosak akan diganti dengan perabot yang baharu.
"Di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan
veteran ATM di seluruh negara.
"Selain itu, lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya 1 unit baru dibina, 4 unit akan dinaik taraf," katanya.
Baca : PM lancar Rangka Tindakan Perumahan 3.0 MINDEF, jamin kemudahan perumahan kepada warga ATM
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran BP3.0 hari ini yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
BP3.0 adalah rentetan daripada BP1.0 dan BP2.0 yang menyaksikan sebanyak 4,200 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) berjaya disiapkan dan diduduki.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan sedar beban kewangan yang perlu ditanggung mereka bagi melaksanakan pembaikan rumah dan sebagainya.
"Oleh itu, kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggara�pindah’ (BLMT) atau Landswap akan diberi pertimbangan agar sebahagian besar matlamat BP3.0 dapat dicapai," tambahnya.
Ismail Sabri memberitahu, sebanyak lima projek perumahan RKMAT telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Katanya, sejak 1 Januari lalu, empat projek RKMAT telah disiapkan termasuk RKMAT Kem Segamat yang dirasmikan pada 6 Mac lalu.
"Sementara itu RKMAT Kem Oran di Perlis, RKMAT Kem Pakit dan Kem Sri Miri di Sarawak dan RKMAT Kem Tok Jalai di Kedah, pula akan diduduki dalam masa terdekat.
"Semua projek RKMAT ini melibatkan 672 unit pelbagai kelas. RKMAT Kem Bera dan RKMAT Kem Tumbi pula
bakal siap dalam masa terdekat," katanya.
Kesemua projek itu, tambahnya, membuktikan bahawa kerajaan komited untuk menjadikan Agenda Perumahan MINDEF sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negara dan sering dibincangkan oleh pengurusan tertinggi kementerian. - DagangNews.com








