SDRAC-Hertz pergiat usaha mobiliti hijau, serah empat EV kepada MBIP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SDRAC-Hertz pergiat usaha mobiliti hijau, serah empat EV kepada MBIP

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Sime Darby Rent-A-Car (SDRAC) selaku pemegang lesen francais eksklusif bagi Hertz di Malaysia menyerahkan sebanyak empat kenderaan elektrik (EV) kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi kegunaan rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

 

Penyerahan itu susulan daripada perjanjian pajakan EV yang ditandatangani antara SDRAC-Hertz dan MBIP ketika berlangsungnya pameran International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 baru-baru ini. 

 

Perjanjian pajakan dengan MBIP adalah satu daripada dua usaha mobiliti hijau oleh SDRAC-Hertz yang bertujuan untuk mempertingkatkan penggunaan EV dalam perniagaan kereta sewa.

 

Usaha kedua SDRAC-Hertz adalah melalui perluasan peranan syarikat sebagai rakan sewaan EV rasmi untuk IGEM hingga 2030.

 

Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Rent-A-Car-Hertz Malaysia, Nahar Hakimy berkata, kedua-dua kerjasama strategik ini mencerminkan kesungguhan mereka terhadap rumusan pengangkutan lestari.

 

Katanya, ia juga melengkapi sasaran prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Sime Darby untuk memiliki lebih daripada 50% produk cekap tenaga dalam portfolio menjelang 2025.

 

"Kami mengambil langkah ke arah mengurangkan jejak karbon melalui perluasan penggunaan kenderaan elektrik dalam penawaran perniagaan. 

 

 

sime darby

 

 

"Selain pilihan barisan kenderaan, kami juga sudah menyepadukan aspek pendigitalan dan kemapanan ke dalam operasi kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, pajakan empat EV dan kerjasama dengan SDRAC-Hertz hanyalah permulaan.

 

 

sime darby

 

 

"Kami akan menambah jumlah EV sebagai usaha berterusan untuk mengurangkan jejak karbon di Iskandar Puteri," katanya.

 

Di bawah perjanjian bersejarah ini, Hertz yang diseliakan SDRAC, akan memajak empat kenderaan elektrik kepada MBIP bagi tempoh setahun bermula Oktober 2023.

 

 

sime darby

 

 

Perjanjian ini menjadikan Hertz sebagai syarikat sewaan kereta pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan pajakan EV kepada sebuah majlis bandaraya. - DagangNews.com