KUALA LUMPUR 22 Dis - Pengedar tunggal Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) menawarkan potongan harga sebanyak 30% menerusi kad istimewa kepada pelanggan Ford Ranger dan Raptor generasi baharu untuk Ford Ranger Getaways mereka yang pertama.
Terbuka kepada semua pemilik Ranger dan Raptor, Ford Ranger Getaways meliputi pelbagai kategori minat pelanggan daripada semua peringkat yang inginkan kembara setempat, sama ada secara sendiri, bersama keluarga atau rakan-rakan.
Ford Ranger Getaways direka untuk memberikan pengalaman lebih kaya dan menyeluruh tentang apa ertinya untuk menjalani gaya hidup Ranger yang sebenar melalui pengalaman pemanduan dan kembara setempat yang dipilih dengan teliti.
Semua kembara dirancang teliti untuk menunjukkan kepelbagaian penggunaan dan kemampuan Ford Ranger dari sesi dalam bandar yang menyeronokkan hinggalah kepada cabaran off-road, atau jelajah cari makan bahkan, untuk menjadi juruterbang dalam sehari mengelilingi KLCC.
Semua acara ini adalah dalam jadual terbuka yang boleh ditempah dan dinikmati oleh pelanggan dengan Ranger dan Raptor mereka sendiri.
Pelanggan boleh menempah tempat untuk Ford Ranger Getaways secara dalam talian melalui platform e-dagang SDAC-Ford.
Melalui platform ini, pelanggan boleh memilih kembara yang diinginkan dan tarikhnya serta membuat bayaran penuh, semuanya dari keselesaan di rumah.



Terdahulu, SDAC telah menganjurkan acara Ford Inner Circle yang pertama di negara ini, dengan menjemput pelanggan Ranger generasi baharu ke bilik pameran 'flagship' Ford di Sime Darby Motors City di Ara Damansara.
Ford Inner Circle bertujuan menyediakan platform berasaskan komuniti yang mana pelanggan kenderaan Ford generasi baharu boleh berhimpun bersama keluarga, rakan-rakan dan mereka yang mempunyai minat sama.



Mereka juga akan menikmati pelbagai kelebihan, termasuk jemputan ke acara VIP dan acara eksklusif yang lain.
Lebih penting, pelanggan akan mempunyai akses kepada sesi penyesuaian kenderaan berjadual di bilik pameran Ford di seluruh negara.
Sesi ini direka untuk membantu mereka menguasai kelengkapan berteknologi tinggi dan ciri pintar lain yang ada pada kenderaan mereka supaya boleh memanfaatkan kemampuan penuh kenderaan Ford generasi baharu milik mereka. - DagangNews.com








