SCIB tamatkan kontrak EPCC dengan PT Cipta Multi Sarana di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SCIB tamatkan kontrak EPCC dengan PT Cipta Multi Sarana di Indonesia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) menerusi anak syarikatnya, SCIB International (Labuan) Ltd. (SCIBILL) telah menamatkan kerja PT Cipta Multi Sarana bernilai RM55.59 juta.

 

SCIBILL menerima surat anugerah cadangan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu pada 18 Ogos 2020.

 

Projek itu melibatkan kerja-kerja tanah untuk jalan bertol Prabumulih-Muara Enim yang terletak di Sumatera, Indonesia.

 

Menurut kenyataan SCIB hari ini, keputusan itu dibuat untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi melindungi kepentingannya berikutan kekurangan kemajuan dalam projek tersebut akibat timbulnya ketidakpastian berikutan pandemik COVID-19.

 

 

Rosland Othman
Rosland Othman

 

 

Selain itu, langkah tersebut juga adalah inisiatif untuk menyemak dan mengemaskini rekod buku pesanan SCIB.

 

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menamatkan kontrak dan melepaskan tanpa syarat dan tanpa had dari semua tuntutan, liens dan perkara yang timbul berkaitan dengan prestasi kerja dan semua pindaan terhadap kedua-dua pihak serta syarat kewajipan di bawah perjanjian penyelesaian yang mereka perlu patuhi.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, penamatan itu adalah demi kepentingan terbaik untuk syarikat kerana tiada kemajuan dan perkembangan di dalam projek itu. 

 

"Daripada pihak PTCMS, ia telah mengakui bahawa tidak ada penalti atau ganti rugi tertentu yang dibubarkan ke atas SCIBILL,” katanya. –DagangNews.com