KUALA LUMPUR 23 Mei - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) meraih kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM38 juta bagi projek infrastruktur jalan raya.
Surat anugerah (LOA) itu diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn. Bhd. daripada Masama Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Projek tersebut membabitkan cadangan pembinaan jalan raya baharu yang akan menghubungkan Jambatan Baleh, RH. Belaja, Ng. Benin, SK. Ng. Pelagus dan Pelagus Resort di daerah Kapit, Sarawak.
Ia berdasarkan terma dan syarat seperti yang ditetapkan dalam dokumen kontrak yang ditandatangani antara Masama dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
"Kontrak ini membabitkan Pakej 2 bagi projek infrastruktur jalan di Pelagus dan Baleh, yang akan bermula pada Mei 2022 hingga Mac 2023.
"Pemerolehan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan sepanjang tempoh kontrak," katanya.
Dengan kontrak tersebut, ia tidak memberi kesan kepada terbitan modal saham dan pemegangan utama kumpulan dan aset bersih SCIB dan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.
Sebarang keuntungan yang boleh diagihkan kepada kumpulan akan direalisasikan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak berdasarkan kemajuan projek.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, projek infrastruktur jalan raya di Sarawak ini memberi momentum kepada kumpulan untuk terus mengukuhkan kedudukan di Sarawak.
Katanya, reputasi SCIB sebagai pembekal pilihan bukan sahaja kepada kerajaan Sarawak tetapi juga sektor swasta di negeri ini telah memberikannya kelebihan daya saing yang diperlukan dalam pemerolehan projek.
"Kami akan terus memanfaatkan kepakaran teras kami untuk mendapatkan projek baharu dan kami amat percaya bahawa projek ini bukan sahaja akan meningkatkan nilai projek dan kedudukan kewangan kami tetapi ia juga akan memanfaatkan langkah pengembangan kami di negeri ini," katanya. - DagangNews.com








