SCIB raih kontrak pembinaan sekolah di Kota Samarahan bernilai RM16.8 juta | DagangNews Skip to main content

SCIB raih kontrak pembinaan sekolah di Kota Samarahan bernilai RM16.8 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), melalui anak syarikatnya, SCIB Industrialized Building System Sdn. Bhd., telah dianugerahkan kontrak bernilai RM16.8 juta daripada Majestika Sdn. Bhd. (Majestika).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa Majestika selaku kontraktor utama projek tersebut telah memberi subkontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan tempoh 14 bulan.

 

Subkontrak tersebut melibatkan pembinaan sebuah sekolah, Sekolah Kebangsaan Tambay, di Kota Samarahan, Sarawak.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Rosland Othman berkata projek tersebut diterima selepas dianugerahkan projek membina semula sebuah sekolah di Serian, Sarawak bernilai RM20.65 juta yang telah diumumkan sebelum ini.

 

“Kekuatan dan tumpuan kami pada projek infrastruktur luar bandar bersaiz kecil hingga sederhana telah membolehkan kami membina portfolio kukuh yang boleh dimanfaatkan apabila mencari projek sedemikian,” ujar beliau.

 

 

Rosland Othman
Rosland Othman

 

 

SCIB menawarkan perkhidmatan EPCC yang disokong oleh cabang pembuatannya iaitu pengeluar konkrit pratuang dan IBS terkemuka di Malaysia Timur. 

 

“Kami sedang giat meneruskan projek untuk sekolah usang di Sarawak dan Sabah, yang telah diperuntukkan RM920 juta. 

 

Ini adalah tambahan kepada pembidaan projek di kedua-dua negeri masing-masing dengan peruntukkan RM5.6 bilion dan RM6.5 bilion di bawah Bajet 2023 yang dibentangkan semula,” katanya.

 

Harga saham syarikat pada 28 Mac 2023 setakat 2:17 petang adalah 0.130 sen dengan permodalan pasaran RM75.67 juta. 

 

SCIB mempunyai buku pesanan sebanyak RM388 juta setakat Mac 2023. -DagangNews.com