KUALA LUMPUR 2 Nov - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Panduan Maqasid Al-Syariah buat Pasaran Modal Islam Malaysia (Panduan).
SC berkata, panduan berasaskan prinsip itu merupakan kesinambungan usaha bagi membangun dan menggalakkan industri terus kukuh dan berdaya tahan.
Katanya, panduan tersebut menggariskan prinsip-prinsip universal bagi meningkatkan kelebihan daya saing pasaran modal Islam (ICM) dan mengukuhkan impak dan sumbangan ICM kepada masyarakat dan ekonomi sebenar.
"Dengan mematuhi piawaian etika tertinggi berdasarkan prinsip teras syariah, inisiatif ini dijangka dapat mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pihak berkepentingan utama.
"Ini juga selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, yang bertujuan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju global dalam ICM dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau bagi pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) patuh syariah," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, panduan tersebut telah dilancarkan pada Persidangan SC-Bank Dunia hari ini yang dihadiri lebih 150 pemain industri termasuk pengamal pasaran modal, institusi kewangan Islam, penasihat syariah, peserta antarabangsa dan agensi kerajaan.
Sehingga Ogos 2023, pasaran modal Islam menyumbang sebanyak 64% atau RM2.4 trilion daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, dokumen berasaskan prinsip itu tidak bertujuan untuk menggantikan keperluan syariah sedia ada.
"Sebaliknya, ia adalah untuk melengkapkan undang-undang dan peraturan SC yang sedia ada. Ia sama dengan konsep "halal" dan "tayyib" yang mana produk bukan sahaja dibenarkan tetapi juga bermanfaat, mampan dan baik untuk masyarakat," katanya. - DagangNews.com








