KUALA LUMPUR 2 Mac - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan DNA SC, sebuah prinsip panduan yang merangkumi nilai-nilai yang telah diterapkan kepada semua warga kerjanya sempena sambutan ulang tahun ke-30.
Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata, DNA itu terdiri daripada nilai kepimpinan, tumpuan kepada pihak berkepentingan, integriti, kesedaran tentang risiko, inovasi dan perluasan bakat.
"Ulang tahun ke-30 ini amat signifikan dalam menandakan betapa jauhnya kita telah melangkah sejak permulaan yang sederhana.
"Impak positif SC ke atas negara amat besar dan merupakan penyumbang utama kejayaan SC, yang mana aset yang paling penting ialah warga kerjanya," katanya.
Terdahulu, SC menerusi hantaran di Facebook meraikan sambutan ulang tahun ke-30 dengan majlis khas untuk menghargai warga kerja SC yang telah berkhidmat sejak penubuhannya pada 1993.
Antara kakitangan yang diraikan ialah Pengarah Urusan SC, Kamarudin Hashim.
Dalam majlis itu, Awang Adek turut menyampaikan anugerah perkhidmatan dan surat penghargaan kepada kakitangan SC semalam.



Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kakitangan SC atas komitmen serta kerja keras yang berterusan ke arah kejayaan SC selama tempoh 30 tahun.
SC akan melancarkan buku sambutan ulang tahun ke-30 pada akhir tahun ini untuk meraikan peristiwa penting dengan menyampaikan koleksi pemikiran kepimpinan merangkumi evolusi pasaran modal Malaysia selama 30 tahun. - DagangNews.com








