SBH Marine sasar RM39.6 juta daripada IPO di Pasaran ACE sebagai modal pengembangan perniagaan | DagangNews Skip to main content

SBH Marine sasar RM39.6 juta daripada IPO di Pasaran ACE sebagai modal pengembangan perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - SBH Marine Holdings Bhd menyasarkan untuk menjana RM39.6 juta juta melalui terbitan 180 juta saham baharu berharga 22 sen sesaham dalam tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, lebih 70% daripada hasil itu akan diperuntukkan bagi tujuan pengembangan perniagaan.

 

Sejumlah RM16 juta daripada hasil itu akan digunakan bagi pembangunan berterusan ternakan udangnya di Selinsing, Perak manakala RM6.5 juta akan digunakan bagi pembinaan kilang pemprosesan makanan laut kedua di Kuala Kurau dan RM6.1 juta bagi kegunaan pembelian mesin, peralatan serta kenderaan baharu.

 

Sebanyak RM7 juta akan digunakan bagi modal kerja dan baki RM4 juta akan digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Selain daripada terbitan 180 juta saham baharu selain itu kumpulan itu juga menawarkan penjualan 50 juta saham sedia ada dan secara keseluruhannya, IPO itu melibatkan penjualan kira-kira 26% kepentingan dan akan memberikan permodalan pasaran sebanyak RM195.36 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SBH Marine, Tan Boo Nam berkata, pihaknya kini bersedia untuk fasa pertumbuhan seterusnya dengan pembesaran ladang ternakan udang serta pembinaan kilang pemprosesan makanan laut baharu.

 

Beliau berkata, pihaknya juga komited meningkatkan rantaian bekalan makanan laut sejuk beku dengan meneroka sektor huluan bagi mengendalikan penetasan dan tapak semaian udang baharu bagi menghasilkan larva udang sendiri menjelang akhir 2024.

 

"Komitmen ini memastikan bekalan produk yang lebih mampan untuk pelanggan. Pada masa ini, produk makanan laut sejuk beku kami menjangkau pelanggan di seluruh Asia, Eropah dan Asia Barat," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment, Rohaizad Ismail berkata, penyenaraian kumpulan itu di Pasaran ACE sudah pasti akan memberi impak positif ke atas profil korporatnya kerana sedang berusaha mengukuhkan dan mengembangkan kehadirannya di pasaran antarabangsa.

 

Beliau berkata, operasi kumpulan yang telah diperakui oleh pelbagai badan pentadbir berfungsi sebagai bukti dedikasi Syarikat untuk menyediakan produk terjamin kualiti kepada pelanggannya. - DagangNews.com