Sarawak jangka impak ekonomi RM24.6 juta daripada penganjuran ICTMM 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak jangka impak ekonomi RM24.6 juta daripada penganjuran ICTMM 2024

Timbalan Premier dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sarawak, Datuk Sri Prof Dr Sim Kui Hian (duduk, tengah) mempengerusikan sidang media hari ini bersama (dudul, dari kiri) Amelia Roziman; Presiden Persekutuan Antarabangsa Perubatan Tropika dan Malaria, Prof Dr Malcolm Jones; Ketua Penganjur ICTMM 2024, Prof Dr. Nursheena Mohd Zain dan Dr Chen Chee Dhang.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Sarawak menjangkakan mencapai jumlah impak ekonomi sebanyak RM24.6 juta sebagai tuan rumah Kongres Antarabangsa bagi Perubatan Tropika dan Malaria (ICTMM) 2024, yang akan diadakan antara 19 sehingga 23 September tahun depan.

 

Daripada angka tersebut, RM13.4 juta akan diperoleh daripada perbelanjaan perwakilan langsung, dan acara itu dijangka mewujudkan 1,952 peluang pekerjaan melalui penganjuran kongres itu, kata Business Event Sarawak (BE Sarawak) dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BE Sarawak, Amelia Roziman berkata selaku modal legasi acara perniagaan di Malaysia dan Borneo, syarikat itu bekerjasama rapat dengan jawatankuasa kongres bagi membantu mencapai kesan legasi mereka.

 

“Industri acara perniagaan Sarawak meletakkan nilai tinggi pada kerjasama dan kami berharap penganjuran ICTMM akan memacu kemajuan industri perubatan tropika Malaysia dan Asia,” katanya.

 

Menurut BE Sarawak, ICTMM 2024 akan membolehkan negeri itu terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab terkemuka di Malaysia dalam memajukan perubatan kesihatan awam.

 

 

ictmm

 

 

Kongres ini turut menandakan penampilan sulung negara sebagai tuan rumah untuk salah satu kongres terkemuka dunia dalam perubatan tropika dan Malaria.

 

ICTMM 2024 dijangka menarik lebih daripada 2,000 saintis, pakar perubatan, penyelidik, penggubal dasar dan pihak berkuasa antarabangsa untuk membincangkan topik perubatan tropika semasa seperti malaria, penyakit terabai, rintangan dadah, perubatan perjalanan dan zoonosis (penyakit dan jangkitan yang disebarkan antara haiwan dan manusia).

 

Dianjurkan bersama Persekutuan Antarabangsa Perubatan Tropika dan Malaria dan Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM), kongres itu akan diadakan serentak dengan Persidangan MSPTM 2024 dan Kongres ASEAN ke-10 bagi Perubatan Tropika dan Parasitologi di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

 

Bertemakan Tindak Balas Global dan Penyelidikan Antara Disiplin Ke Arah Menghapuskan Penyakit Tropika’, ICTMM 2024 dijangka menarik lebih 2,000 peserta antarabangsa.

 

Maklumat lanjut mengenai kongres boleh didapati di laman web, https://ictmm2024.org/ atau melalui e-mel [email protected]. - DagangNews.com