KUALA LUMPUR 2 Okt - Sapura Energy Berhad perlu mengekalkan tahap pendapatan yang tinggi bagi meneruskan rancangan penyusunan semula sebagai usaha menangani hutang yang tidak mampan dan kewajipan tertunggaknya kepada pemiutang perdagangan.
UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, sentimen utama yang mempengaruhi harga saham Sapura Energy tidak seharusnya dikaitkan dengan harga minyak yang tinggi dan peningkatan nilai aset minyak dan gas global atau kadar pelantar sewaan bagi suku keempat 2023.
“Sebaliknya, lebih penting bagi kumpulan itu untuk menjana pendapatan tinggi sebelum tahap faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi pelan penyusunan semulanya dan melengkapkan pelupusan SapuraOMV Upstream Sdn. Bhd. selain kehadiran kesatria putih," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu menegaskan bahawa EBITDA Sapura Energy mesti kekal stabil bagi menjana RM4.75 bilion bagi melunaskan hutangnya.
“Pelan ini adalah daripada gabungan suntikan RM1.8 bilion daripada seorang kesatria putih (tetapi identiti dan keputusannya masih tidak diketahui), penjualan RM2.3 bilion indikatif unit bersekutu huluan SapuraOMV, dan EBITDA berterusan RM250 juta setahun, ” katanya.
Menurut firma itu, Sapura Energy mendapat manfaat daripada pembayaran balik pendahuluan pemegang saham sebanyak RM208 juta, mungkin bagi projek usaha sama (JV) Brazil, dan ini mungkin pelepasan sekali sahaja terhadap EBITDA yang lemah bagi suku kedua 2024 berakhir 31 Julai.
Bagaimanapun, kumpulan itu mengumumkan bahawa ia telah memperoleh kontrak AS$300 juta (RM1.4 bilion) daripada Azule Energy Angola BV untuk kompleks gas di Angola, Afrika – projek Kompleks Gas Utara Angola (NGC).
Syarikat penyelidikan itu menambah bahawa aktiviti kejuruteraan dan pembinaan yang berkaitan dengan projek ini dijangka berlanjutan sehingga akhir tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026.
Mengenai kadar pesanan sedia ada Sapura Energy, firma penyelidikan itu berkata kira-kira RM4.1 bilion dikaitkan dengan projek JV, dan lebih 60% daripada portfolio mewakili usaha niaga luar negara.
Walaupun industri berdepan kesukaran selama setahun, kadar tender pelantar yang mana Sapura Energy memegang lebih 50% bahagian pasaran global, hanya melonjak baru-baru ini.
“Kontrak tender pelantar baru-baru ini diberikan adalah untuk pelantar tender E-Drill T-15 untuk PTTEP Thailand.
“Pada nilai kontraknya sebanyak AS$120 juta, ini menunjukkan kadar harian yang tinggi sebanyak AS$110,000, malah jauh melebihi kadar purata pelantar Velesto Energy sebanyak AS$94,000 pada suku kedua 2023, dan ini memberi harapan untuk rundingan kadar pelantar tender masa hadapan,” kata firma penyelidikan itu.
UOBKH mengekalkan saranan "tahan" dengan harga sasaran (TP) 4 sen sesaham.
“Walaupun ekuiti 2023 merosot dengan ketara kepada kerugian 16 sen sesaham, penilaian kami sudah pun menganggap senario kejayaan kemasukan kesatria putih dan penjualan SapuraOMV, untuk mengumpul hasil sebanyak RM4 bilion, yang diandaikan RM2.3 bilion adalah harga minimum untuk penilaian SapuraOMV,” katanya. - DagangNews.com








