Sapura Energy mungkin perlukan 'penyelamat' jika mahu kembali pulih, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Energy mungkin perlukan 'penyelamat' jika mahu kembali pulih, kata penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'underperform' terhadap Sapura Energy Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada 0.5 sen meskipun kumpulan meraih lanjutan kontrak di Brazil bernilai RM580 juta.

 

Penganalisisnya, Steven Chan berpendapat, lanjutan kontrak yang diperoleh syarikat minyak dan gas itu dilihat satu perkembangan positif tetapi ia masih belum mencukupi untuk memulihkan kembali kedudukan kewangan syarikat. 

 

Ini kerana katanya, kumpulan pada masa ini masih diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), dengan juruauditnya mendapati ketidaktentuan yang ketara berkaitan statusnya itu. 

 

"Sapura Energy masih menanggung hutang tinggi yang tidak mampan sebanyak RM10.7 bilion, kesemuanya diklasifikasikan sebagai pinjaman jangka pendek dalam lembaran imbangannya.

 

"Oleh itu, kami merasakan beberapa bentuk campur tangan luar, antaranya, penstrukturan semula struktur pinjaman semasa, potongan pinjaman daripada bank, atau kemunculan pelabur yang menjadi 'penyelamat' mungkin diperlukan sebelum syarikat menjangkakan perubahan yang mampan," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : Sapura Energy peroleh lanjutan kontrak RM580 juta di Brazil

 

Semalam, Sapura Energy diberi lanjutan kontrak piagam dan perkhidmatan oleh Petroleo Brasileiro SA
(Petrobras) di Brazil bernilai RM580 juta.

 

Kontrak lanjutan selama 2 tahun itu diberikan kepada syarikat usaha sama di bawah segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) untuk kapal sokongan pemasangan paip (PLSV) Sapura Esmeralda.

 

Susulan perolehan kontrak itu, Kenanga Research tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23) hingga FY24.

 

"Sapura Energy masih dijangka meneruskan aliran merugikan sepanjang FY23 hingga FY24, tanpa sebarang kejayaan penstrukturan semula kewangan dan operasinya," jelasnya. 

 

Setakat 9.57 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 11.11% kepada 4 sen dengan 5.44 juta saham diniagakan. - DagangNews.com