KUALA LUMPUR 28 Sept - RHB Research percaya persekitaran operasi Sapura Energy Bhd. semakin bertambah baik disokong aktiviti huluan yang lebih mantap dan kenaikan harga minyak.
Malah, menurutnya, rundingan secara berterusan dan pemansuhan kontrak warisan akan membawa kepada peningkatan margin.
Namun, katanya penambahan kontrak dalam tempoh jangka pendek mungkin terhad memandangkan kewangannya yang lemah, dan pelan penstrukturan semula yang sangat cair diperlukan untuk menyelesaikan tahap hutang yang tidak mampan.
Mengambil kira faktor ini, firma itu masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sapura Energy dengan harga sasaran pada dua sen.
Sapura Energy mempunyai nilai kontrak sebanyak RM7.7 bilion setakat suku kedua berakhir 31 Julai 2022 dengan 20% daripadanya adalah kontrak warisan yang akan diiktiraf pada separuh kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23).
Nilai tender pula sebanyak RM24 bilion, dengan pembahagian 46:54 antara Hemisfera Timur dan Hemisfera Barat.
"Kami percaya penambahan kontrak dalam tempoh terdekat kemungkinan tidak kukuh berikutan kedudukan kewangannya yang lemah," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam taklimatnya bersama penganalisis, didapati jumlah pinjaman kumpulan adalah sebanyak RM11 bilion setakat suku kedua FY23 dan akan terus diklasifikan di bawah liabiliti semasa dengan pelanggaran perjanjian kewangan.
Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat Malaysia (CDRC) telah menerima permohonannya untuk menjadi pengantara rundingan penstrukturan semula hutangnya dengan pemberi pinjaman, dan syarikat itu dijangka mengemukakan cadangan untuk penstrukturan semula hutangnya dalam tempoh 60 hari mulai 1 September 2022.
Namun, menurut RHB Research, pengurusan tidak memberi panduan tentang tahap hutang yang selesa selepas penstrukturan semula tetapi menegaskan bahawa kedudukan tunai melalui pengoptimuman kos berterusan dan pelan pelupusan juga menjadi satu keutamaan.
Katanya, Sapura Energy telah menyelesaikan pelupusan Sapura 3000 pada Ogos lalu dan sedang melupuskan tiga pelantar penggerudian iaitu Sapura T-19, Sapura T-20 dan Sapura Setia dengan harga AS$8.2 juta.
"Selain daripada potensi penukaran hutang kepada ekuiti sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula, kami tidak menolak kemungkinan Sapura Energy menjual sebahagian daripada 50% kepentingannya dalam SapuraOMV, cabang penerokaan dan pengeluaran huluannya," jelasnya.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan pada Isnin, kerugian bersihnya mengecil kepada RM2.59 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022 daripada RM1.52 bilion setahun lalu.
Kerugian itu terutamanya disebabkan oleh susut nilai dan hapus kira yang diiktiraf oleh kerjasama penerokaan dan pengeluaran strategik, SapuraOMV Upstream.
Sementara itu, pendapatan meningkat 57%s kepada RM1.17 bilion daripada RM747.12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh kewangan enam bulan, Sapura Energy mencatatkan keuntungan bersih RM89.34 juta berbanding kerugian bersih RM1.61 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan susut 7.2% kepada RM2.06 bilion daripada RM2.22 bilion.
Setakat 12.18 tengah hari, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 11.11% kepada 4 sen dengan 3.07 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








