Sapura Energy dijangka terus berdepan kerugian, penganalisis kini nilai TP lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Energy dijangka terus berdepan kerugian, penganalisis kini nilai TP lebih rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis - Persekitaran operasi Sapura Energy Bhd. yang masih mencabar menyebabkan kumpulan sukar untuk kembali mencatat keuntungan bagi tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan akan datang. 

 

Tambahn pula, dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM669.34 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2021 (Q3FY22) berbanding keuntungan bersih RM17.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM1.45 bilion daripada RM1.33 bilion.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, kerugian bersih Sapura Energy mengecil sebanyak 56% pada suku ketiga daripada RM1.52 bilion memandangkan kos projek yang lebih tinggi diiktiraf pada suku kedua bagi beberapa projek dan peruntukan kerugian yang boleh dijangka. 

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Jeremy Yap berkata, syarikat minyak dan gas itu memerlukan lebih banyak masa dan usaha berterusan bagi mengubah operasinya supaya kembali pulih meskipun bukan dalam tempoh terdekat. 

 

Katanya, kos lebihan yang meningkat dalam projeknya dan kecekapan persekitaran operasi yang rendah disebabkan kos tetap yang tinggi dalam kumpulan adalah antara faktor mempengaruhi prospek Sapura Energy. 

 

"Kami kini menjangkakan kerugian bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) akan terus melebar kepada RM2.1 bilion berbanding anggaran RM2 bilion sebelum ini. 

 

"Ini mengambil kira margin yang lebih rendah bagi bahagian kejuruteraan dan pembinaan (E&C). Bagaimanapun, kami mengekalkan anggaran pendapatan bagi FY22-FY23," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Setakat akhir Oktober 2021, nilai projek Sapura Energy berjumlah RM7.6 bilion manakala RM9 bilion masih dalam bidaan dan RM13 bilion pula dalam bidaan yang sudah dikemukakan.

 

Kumpulan juga membentuk lembaga petugas khas bagi penstrukturan semula bersama-sama PwC dan Rothschild sebagai penasihat untuk menyemak semula kedudukan kewangan kumpulan, aliran tunai, strategi dan hala tuju organisasi dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang.

 

Tetapi, Yap terus menjangkakan cabaran dan ketidaktentuan semasa kumpulan akan berterusan sehingga suku keempat berakhir 31 Januari 2022 (Q4FY22) dan juga FY23. 

 

"Dari segi imbangan tunai, hutang bersih dan gearan kumpulan terus merosot, berjumlah RM10.1 bilion dan 1.48x pada Oktober 2021 (daripada RM9.9 bilion dan 1.06x setakat akhir Oktober 2020)," tambahnya.

 

Bagaimanapun, HLIB menyemak naik penarafan Sapura Energy kepada 'pegang' berbanding 'pegang' sebelum ini, memandangkan harga sahamnya menjunam sehingga 57% sejak firma itu menyemak rendah rendah sahamnya pada 1 Oktober lalu. 

 

Harga sasaran (TP) sebaliknya disemak lebih rendah kepada 5 sen daripada 9 sen sebelum ini. 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Steven Chan menjangkakan margin kerugian bagi FY22 dan FY23 masing-masing akan melebar sehingga 5% dan 14%, selepas mengambil kira margin projek yang lemah. 

 

"Kami semakin tidak selesa dengan ketidaktentuan kedudukan imbangan tunai jangka pendek dan cabaran kecairannya.

 

"Ini kerana kumpulan terus berdepan dengan cabaran kecairan jangka pendek di tengah-tengah kelewatan projek dan kesukaran untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan," jelasnya.

 

Sejak suku yang lalu, semua hutang syarikat (berjumlah RM10.7 bilion) telah diklasifikasikan semula kepada jangka pendek, selepas pelanggaran perjanjian pinjaman dan kumpulan masih belum memenuhi keperluan bersyarat.

 

Di sebalik kerugian berterusan ini, gearan bersih juga terus meningkat secara berterusan kepada 1.5x daripada 1.1x sejak awal tahun.

 

Mengambil kira faktor ini, Kenanga Research mengekalkan saranan 'underperform' bagi saham Sapura Energy dengan TP disemak rendah kepada 4 sen berbanding 7 sen sebelum ini. 

 

Setakat 9.26 pagi ini, saham Sapura Energy berada dalam kaunter paling aktif diniagakan, dengan harga sahamnya tidak berubah pada 5 sen dengan 17.34 juta saham diniagakan. - DagangNews.com