KUALA LUMPUR 22 Jan - Samaiden Group Berhad (Samaiden) dianugerahkan kontrak bernilai RM100 juta oleh NUR Renewables Sdn Bhd (NUR) untuk membangunkan loji tenaga solar di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kedah.
Kontrak tersebut diperoleh anak syarikatnya, Samaiden Sdn Bhd (SSB) dengan ahli konsortiumnya, JS Solar Sdn Bhd (JS Solar).
NUR, pakar dalam penjanaan, penghantaran, pengedaran dan peruncitan elektrik di Malaysia diletakkan secara unik sebagai satu-satunya utiliti kuasa bebas dengan hak eksklusif dalam KHTP.
Menurut Samaiden, projek di KHTP ini melibatkan pembangunan loji kuasa solar (fasa pertama) dipasang di tanah iaitu 50 megawatt (MWac) adalah untuk membekalkan tenaga hijau kepada semua pelanggan yang terletak di KHTP.
"Ia bukan sahaja menunjukkan komitmen NUR dalam membekalkan tenaga boleh baharu dalam KHTP tetapi juga menandakan fasa pertamanya dalam projek solar 500MWac yang bercita-cita tinggi, yang ia merancang untuk membangunkan dengan kerjasama UEM Lestra Berhad, cabang tenaga hijau Kumpulan UEM," kata kenyataan itu.
Samaiden merupakan pakar tenaga boleh baharu (RE) yang terlibat dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) fotovoltan solar.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, usaha niaga EPCC terbaru di KHTP membuktikan kejayaan kerjasama dengan JS Solar.
"Projek ini lebih daripada kejayaan kejuruteraan, ia adalah satu langkah ke arah masa depan yang mampan.
"Ia menggariskan kepakaran kami yang terbukti dan mengukuhkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memajukan penyelesaian tenaga mampan dalam sektor RE," katanya.
Pengarah Urusan JS Solar, Johnson Chai pula berkata, kerjasama dengan Samaiden dalam projek EPCC 50MW ini bukan sahaja menandakan kejayaan perniagaan tetapi juga mencerminkan visi bersama untuk Malaysia yang lebih mampan.
"Kejayaan ini memberi dorongan untuk memulakan usaha niaga masa depan, bertujuan untuk elaksanakan lebih banyak projek yang memperjuangkan kemampanan dalam domain tenaga boleh baharu," jelasnya. - DagangNews.com








