Sam Mannan dilantik Profesor Adjung Fakulti Perhutanan Tropika UMS bermula 14 Mac 2022 | DagangNews Skip to main content

Sam Mannan dilantik Profesor Adjung Fakulti Perhutanan Tropika UMS bermula 14 Mac 2022

Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad (kiri) bersama Profesor Adjung Datuk Sam Mannan (dua dari kiri) , Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie (dua dari kanan) dan Luqman Ridha Anwar.

KOTA KINABALU 15 Mac - Mantan Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Sam Mannan dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama dua tahun berkuat kuasa 14 Mac 2022.

 

Penyampaian surat lantikan disempurnakan Pendaftar UMS,  Luqman Ridha yang turut disaksikan Dekan FPT UMS, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @Raffie dan Pemegang Kursi Perhutanan Datuk Kelvin Tan Aik Pen UMS, Prof. Madya Dr Berhaman Ahmad.

 

Normah berkata, pelantikan itu memberi manfaat besar untuk mengangkat fakulti dan UMS ke tahap lebih tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

 

“Sebagai mantan Ketua Pemulihara Hutan Sabah (Chief Conservator Forest),  Sam Mannan merupakan seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang perhutanan selain mempunyai jaringan hubungan luar yang luas.

 

“FPT berasa sangat bertuah dan menyambut baik kehadiran beliau. Saya ucapkan selamat datang dan selamat menjadi warga Fakulti Perhutanan Tropika UMS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai Profesor Adjung, Sam Mannan dikehendaki menyampaikan syarahan umum selain menjadi penasihat akademik kepada ahli fakulti, mentor dalam bidang penyelidikan dan khidmat nasihat dan membantu mengeratkan hubungan UMS dengan organisasi luar bagi membantu fakulti mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

 

Sementara itu, Sam Mannan berterima kasih di atas lantikan itu dan pada masa sama menyuarakan hasrat untuk memajukan fakulti serta UMS dalam bidang perhutanan.

 

“Saya  menggalakkan kakitangan akademik terus menambah ilmu dan pengalaman melalui penyertaan latihan-latihan  di peringkat antarabangsa, contohnya seperti di New Zealand,” katanya. - DagangNews.com