Rugi berterusan, mampukah Xpeng bertahan, soal AmInvestment terhadap rakan kongsi Bermaz Auto | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rugi berterusan, mampukah Xpeng bertahan, soal AmInvestment terhadap rakan kongsi Bermaz Auto

Bermaz Auto dilantik mengedar kenderaan EV China, XPeng./Gambar Bangkok Int Motor Show
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Mac - AmInvestment Bank bimbang dengan kedudukan kewangan rakan kongsi Bermaz Auto Bhd - pengeluar kereta elektrik (EV) China, XPeng apabila secara konsisten mencatat kerugian sehingga mengurangkan sumber tunainya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini menimbulkan tanda tanya sama ada XPeng boleh bertahan dalam jangka panjang atau sebaliknya walaupun Xpeng diakui mengeluarkan produk premium. 

 

Katanya, Bermaz Auto telah menyatakan yang perkongsiannya dengan Xpeng adalah strategik kerana syarikat itu pengeluar EV premium di China yang setanding dengan Tesla dan percaya boleh cemerlang dengan perkhidmatan tahap tertinggi dan pangkalan pelanggan setianya.

 

"Bagaimanapun, Bermaz Auto mengakui bahawa jumlah jualannya berkemungkinan kecil, dalam lingkungan 500-1,000 setahun tetapi ia akan menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Xpeng yang berpangkalan di Guangzhou mencatatkan kerugian bersih sebanyak 1.35 bilion yuan (AS$188 juta) untuk tiga bulan berakhir 31 Disember, menurut pemfailan Selasa, lapor Bloomberg.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SUV G6 dijangka model pertama XPeng dipasarkan Bermaz Auto di Malaysia

 

Sementara itu, menurut AmInvestment, sejak pelancaran versi facelift CX5 yang sangat popular, Bermaz Auto telah mengumpul lebih daripada 2,500 pesanan tahun-ke-terkini (YTD).

 

Katanya, untuk FY25, Bermaz Auto menyasarkan pertumbuhan 5% untuk Malaysia dan menurut kepada statistik daripada MAA, bilangan jualan kereta daripada Mazda dan Kia meningkat sebanyak <2% YoY pada Jan-Feb 2024.

 

"Ini bermakna kami akan melihat pertumbuhan yang bermakna pada bulan-bulan akan datang.

 

"Selain itu, pasaran Filipina semakin kukuh momentum daripada 3QFY24, yang mencatatkan hasil 90% pertumbuhan," jelasnya.

 

AmInvestment mengulangi penarafan Beli dengan RM3.42 sesaham.- DagangNews.com