Rugi bersih Protasco pada 1QFY24 melebar kepada RM6.2 juta kesan margin rendah dalam semua segmen perniagaan | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Protasco pada 1QFY24 melebar kepada RM6.2 juta kesan margin rendah dalam semua segmen perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Kerugian bersih Protasco Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) melebar kepada RM6.2 juta berbading RM1.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan margin kasar lebih rendah dalam semua segmen perniagaannya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku tersebut meningkat sedikit kepada RM163.9 juta berbanding RM162.6 juta pada 1QFY24.

 

Katanya, kerugian kumpulan itu adalah kesan daripada keuntungan kasar yang lebih rendah bagi segmen penyelenggaraan, pembinaan dan hospitaliti selain penurunan pendapatan dalam segmen tenaga bersih (RE).

 

"Pada masa sama kumpulan itu menanggung perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada segmen penyelenggaraan, pembinaan, perdagangan dan Pendidikan disebabkan peningkatan kos kakitangan, IT dan kewangan," katanya.

 

Protasco berkata, hasil mereka meningkat sebanyak RM1.65 juta (26%) daripada RM6.22 juta kepada RM7.87 juta berikutan kemajuan pembinaan yang lebih tinggi daripada kerja-kerja menaik taraf projek jalan di Kulim, Kedah.

 

Katanya, walaupun terdapat peningkatan dalam hasil, kerugian sebelum cukai meningkat daripada RM380,000 kepada RM3.12 juta pada suku semasa disebabkan oleh kos jualan dan kos kewangan lebih tinggi.

 

"Hasil bagi segmen hartanah bagaimanapun meningkat dengan ketara sebanyak RM2.7 juta (68%) daripada RM3.95 juta kepada RM6.65 juta disebabkan kemajuan pembangunan Jade Hill, Tampin dan penjualan tiga unit inventori di Sentrio, Pasir Gudang.

 

"Selaras dengan peningkatan dalam hasil, kerugian sebelum cukai berkurangan sebanyak RM1.66 juta (61%) daripada RM2.71 juta pada suku yang sama sebelumnya kepada RM1.05 jutapada suku semasa disebabkan peningkatan dalam pendapatan lain dan penurunan dalam perbelanjaan operasi dan pentadbiran dan kos kewangan," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, kerugian bersih bagi suku semasa adalah dalam jangkaan kerana aktiviti perniagaan menjadi perlahan terutamanya untuk segmen perniagaan penyelenggaraan yang merai kontrak berkala yang lebih rendah.

 

Katanya, ia juga menjejaskan segmen perniagaan perdagangan, yang merupakan pembekal untuk sub-kontraktor kerja penyelenggaraan jalan.

 

"Tanpa sebarang keadaan luar jangkaan, kumpulan menjangkakan untuk mengekalkan trajektori keuntungan bagi tahun kewangan semasa memandangkan aktiviti perniagaan mendapat momentum dalam pembangunan," katanya.- DagangNews.com