KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kerugian bersih Pertama Digital Berhad meningkat kepada RM5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM146,000 yang dicatatkan pada tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, bagi suku semasa mereka merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM1.65 juta iaitu peningkatan 37.15% berbanding RM1.2 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, hasil yang lebih tinggi ini disebabkan oleh komisen yang lebih tinggi yang diperoleh daripada kutipan eJamin, penyelesaian pembayaran ikat jamin digital yang digunakan di mahkamah jenayah di seluruh Malaysia.
"Kerugian besar itu adalah disebabkan kos oeprasi yang tinggi.
"Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023, segmen pegangan pelaburan, mudah alih dan penyelesaian digital kumpulan mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM3 juta, penurunan sebanyak 52.42%.
"Ini disebabkan oleh perkhidmatan mySMS (mySMS15888) yang menyokong fungsi My Sejahtera untuk Kementerian Kesihatan berakhir pada penghujung tahun 2022, sejajar dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik COVID-19," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkata, Kerajaan Malaysia mengiktiraf sektor IT sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan sosio-ekonomi.
Katanya, mereka telah melancarkan pelbagai rancangan dan program untuk merangsang sektor dan memudahkan penyepaduan penyelesaian IT merentas semua perusahaan. Pendigitalan industri dan aktiviti komersial dijangka memberikan dorongan selanjutnya kepada sektor itu.
"Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan pendigitalan di seluruh dunia, Kerajaan Malaysia melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) pada 19 Februari 2021, yang menggariskan pelan tiga fasa. Fasa 1 (2021-2022) memfokuskan pada mengukuhkan asas penerimaan digital Malaysia.
"Fasa 2 (2023-2025) mengutamakan transformasi digital inklusif, manakala Fasa 3 (2026-2030) membayangkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam kandungan digital dan keselamatan siber.
"Banyak objektif MyDIGITAL sejajar dengan rancangan perniagaan Kumpulan. Dengan memanfaatkan sokongan daripada agensi awam, kumpulan merancang untuk memasukkan semua inisiatif digital kerajaan ke dalam strateginya dan mengambil bahagian secara aktif dalam melaksanakan pelan tindakan MyDigital," katanya.- DagangNews.com








