KUALA LUMPUR 1 Sept - Lebih 1,000 kakitangan Roche (Malaysia) Sdn Bhd berganding tenaga dalam memperkasakan acara Roche Children’s Walk 2023, yang mana berjaya mengumpul dana sebanyak RM75,000 bagi menambah baik kehidupan kanak-kanak di Rumah Perlindungan Safiyyah.
Sambutan Roche Children’s Walk 2023 meraikan usaha dan dedikasi selama dua dekad dalam meningkatkan kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia.
Ia menyediakan kepelbagaian cara bagi kakitangan Roche Malaysia untuk mengambil bahagian - sama ada dengan memberi sumbangan tunai atau menjadi sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti mengumpul dana.
Beberapa bulan telah dikhususkan bagi penganjuran pelbagai aktiviti seperti lelongan bid4Charity, pesta ria, malam tontonan wayang yang turut melibatkan kanak-kanak dari rumah amal tersebut, seperti gerai jualan aneka kek dan roti serta jualan barangan Roche Children’s Walk seperti baju-t.
Demi untuk memperingati ulang tahun global ke-20 Roche Children’s Walk, kakitangan Roche Malaysia bersatu dalam menghidupkan impian murni kanak-kanak di Rumah Perlindungan Safiyyah.
Gabungan dedikasi mereka merealisasikan kesemua 23 impian pendidikan dan eksperimentasi kanak-kanak ini, yang turut merangkumi buku, barangan sukan dan peralatan peribadi.
Inisiatif ini ditamatkan dengan kejayaan acara berjalan kaki sejauh 2 kilometer di kawasan Sunway yang melibatkan lebih 400 kakitangan Roche Malaysia dan majlis penyerahan cek kepada Rumah Perlindungan Safiyyah.

Pengurus Besar Roche, Deepti Saraf berkata, pihaknya menganjurkan Roche Children’s Walk di Malaysia selama hampir 10 tahun dan membantu lebih 250 kanak-kanak serta mengumpul dana melebihi RM300,000.
"Usaha mengumpul dana tahun ini melepasi RM63,200 yang dicapai tahun lalu, iaitu RM75,000. Saya amat berbangga dengan sifat pemurah hati dan sumbangan yang diberikan semua kakitangan.

"Sumbangan ini akan dilaburkan dalam menyokong keperluan sewa, utiliti dan perbelanjaan lain Rumah Perlindungan Safiyyah. Sungguh berinspirasi untuk melihat bagaimana usaha kolektif kakitangan akan memberi impak positif terhadap kehidupan anak-anak muda ini," katanya.
Pengasas rumah kebajikan tersebut yang dikenali sebagai Mia pula berkata, dia menzahirkan penghargaan terhadap dana yang dikumpulkan daripada pasukan Roche di Malaysia yang akan membantu dalam memenuhi keperluan pengendalian rumah itu, antaranya bagi penyediaan makanan berkhasiat dan melengkapkan keperluan pendidikan kanak-kanak.

"Selain itu, kami juga bersyukur kerana kakitangan Roche menaja barangan keperluan asas seperti makanan, kelengkapan dandanan diri, pakaian dan alat tulis," katanya. - DagangNews.com








