Risiko masih terkawal, AmInvestment kekal saranan 'beli' saham VS Industry | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko masih terkawal, AmInvestment kekal saranan 'beli' saham VS Industry

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham VS Industry Bhd. memandangkan risiko sosial dan tadbir urus mengenai amalan buruhnya masih terkawal setakat ini. 

 

Malah, firma itu juga mengunjurkan nilai wajar bagi syarikat pembekal pembuatan perkhidmatan elektronik (EMS) ini pada RM1.98 sesaham. 

 

"Berdasarkan kefahaman kami, VS Industry memiliki kira-kira 5,000 pekerja asing dengan 1,000 daripadanya adalah pekerja asing kontrak dengan ejen pihak ketiga. Secara keseluruhan, ia mempunyai 9,000 pekerja di Malaysia.

 

"Pada masa sama, VS Industry juga mempunyai risiko penumpuan pelanggan yang lebih rendah berbanding pemain industri lain," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mendapati, kebanyakan pelanggan utama syarikat adalah tertumpu di negara-negara barat dengan 40% daripadanya adalah dari United Kingdom manakala lagi 40% dari Amerika Syarikat, dan selebihnya dari Eropah dan negara-negara lain. 

 

"Kumpulan juga mempunyai operasi di luar Malaysia termasuk Indonesia dan China, dengan masing-masing menyumbang sebanyak 9% dan 4% kepada pendapatan, dengan kapasiti tambahan bagi menampung lebih banyak volum," tambahnya.

 

Semalam, Pengarah Urusan VS Industry, Datuk S.Y Gan dalam kenyataan berkata, syarikat bersedia untuk bekerjasama dengan pihak luar yang boleh menambah nilai dan memperkukuhkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memelihara kebajikan pekerja asing. 

 

Ini berikutan kebimbangan yang dibangkitkan Pakar Hak Pekerja Migran, Andy Hall minggu lalu ketika taklimat pelabur mengenai topik pekerja migran di Malaysia, antaranya, termasuklah sejauh mana kesahihan penggunaan pekerja asing penyumberan luar melalui ejen pihak ketiga, risiko yang wujud dalam skim penyusunan semula kerajaan serta waktu bekerja, gaji sara hidup dan isu dialog sosial. 

 

Susulan itu, pihak VS Industry berhubung dengan Andy Hall bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara berkenaan.

 

Beliau kemudiannya menyatakan terdapat keperluan untuk menjalankan usaha wajar berhubung situasi pekerja asing dengan pelbagai pembekal syarikat multinasional (MNC) di Malaysia.

 

Malah, komen tersebut baru-baru ini juga tidak dimaksudkan sebagai rujukan langsung untuk menunjukkan isu pekerja migran yang tidak boleh diperbaiki di VS Industry.

 

Setakat 11.19 pagi ini, saham VS Industry menokok 2 sen atau 1.60% kepada RM1.27 dengan 17.42 juta saham diniagakan. - DagangNews.com