Ringgit meningkat 0.67% berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit meningkat 0.67% berbanding dolar AS

ringgit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ringgit terus mencatatkan peningkatan sebanyak 0.67% kepada 4.191 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang menyusut sebanyak 0.55% kepada 92.868 hari ini.

AmBank Research dalam nota kajiannya menyatakan, peningkatan tersebut didorong tiga masalah yang terpaksa dihadapi AS, menyebabkan kejatuhan mata wangnya pada paras terendah bagi tempoh dua tahun.

"AS berdepan dengan sekatan pakej bantuan COVID-19 dalam Kongres bersama parti Republikan dan Demokrat yang tertekan akibat insurans pengangguran.

"Pelabur juga sedang bersiap sedia untuk memperbaiki ekonomi serta didorong oleh prestasi mata wang euro yang melonjak tinggi," jelas AmBank Research.

Sementara itu, KLCI juga ditutup rendah 0.50% pada 1.568.1, semalam.

Dalam nota kajian yang sama, ringgit turut mengukuh di semua peringkat berbanding mata wang utama lain yang didagangkan. 

Ringgit naik 0.16% kepada 4.969 berbanding mata wang Euro (EUR).

Peningkatan sebanyak 0.30% kepada 5.499 berbanding mata wang Pound Sterling (GBP).

Manakala, ringgit juga lebih kukuh berbanding mata wang Yen Jepun (JPY) pada kadar 0.56% kepada 3.969.

Namun sedikit lemah berbanding Dolar Australia (AUD), menyusut 0.22% kepada 3.022.

AmBank Research turut menjangkakan ringgit diperdagangkan antara tahap sokongan 4.1635 hingga 4.1805. - DagangNews.com