RichWorks bimbing 3 syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

RichWorks bimbing 3 syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2025

Datuk Wira Dr. Azizan Osman
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Syarikat latihan dan bimbingan pemasaran, RichWorks International Sdn. Bhd. sedang membimbing tiga syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

 

Pengasas dan Pengerusinya, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kekuatan mereka dalam menghasilkan jualan melebihi ratusan juta ringgit setahun.

 

Beliau berkata, antara cabaran utama yang perlu dihadapi untuk menyiapkan syarikat itu bagi menyediakan tawaran awam permulaan (IPO) adalah mengubah cara urus tadbir serta pemikiran usahawan ini berkaitan perkembangan perniagaan.

 

"Paling susah adalah corporate governance, untuk ubah sesebuah syarikat itu ke arah korporat dan melihat struktur mereka sendiri sebelum kita bawa kepada Bursa Malaysia dan SC (Suruhanjaya Sekuriti).

 

"Selain itu adalah cara mereka berfikir, ada yang rasa selesa dengan apa yang berjaya dihasilkan setiap bulan dan mereka tidak nampak kepentingan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

 

"Buat masa sekarang kami hanya ada tiga syarikat yang berpotensi untuk disiapkan bagi tujuan terbitan IPO itu dan saya memerlukan masa tiga tahun untuk merealisasikannya," katanya dalam satu temubual eksklusif secara maya, hari ini. 

 

Azizan berkata, usahawan-usahan ini perlu diberikan diberikan pendedahan dan atas dasar itu ada yang di bawa ke Indonesia baru-baru ini untuk melihat sendiri potensi pasaran di sana agar mereka mempunyai keinginan untuk berkembang.

 

"Apabila mereka berminat mereka akan mula ada strategi untuk kembangkan perniagaan, ada usaha untuk mencari dana melalui terbitan IPO," katanya.

 

Mengulas mengenai usaha untuk menjadi Lembaga Pengarah syarikat Managepay System Berhad (MPay), beliau sedang menyelesaikan beberapa perkara berkaitan sebelum September 2022 bagi memuktamadkan perkara itu.

 

Buat masa sekarang, beliau memberitahu pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPay, Datuk Chew Chee Seng mengenai portfolionya sekiranya menyertai lembaga pengarah syarikat itu.

 

"Saya akan masuk apabila saya jelas dengan pekara yang boleh saya bawakan kepada syarikat, jika tidak saya akan terus masihat dari luar sahaja.

 

"Saya juga sedang membina beberapa rangkaian baharu di Switzerland untuk membawakan konsep pembayaran digital MPay ke pasaran Arab Saudi," katanya. - DagangNews.com