RHB Research semula unjuran harga minyak lebih rendah kepada AS$88 setong bagi 2023  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research semula unjuran harga minyak lebih rendah kepada AS$88 setong bagi 2023 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Jan - RHB Research menyemak semula unjuran harga minyak mentah bagi 2023 lebih rendah kepada AS$88 setong daripada AS$90 setong. 

 

Firma itu menjangkakan harga minyak mentah akan menurun kepada AS$85 setong pada suku pertama sebelum impak pembukaan semula sempadan China mula memberi kesan pada suku kedua dan ketiga.

 

Menurutnya, secara keseluruhan perminyaan minyak mentah kekal kukuh dengan merekodkan pertumbuhan positif 2.2 juta tong sehari tahun ini. 

 

"Selain daripada ketidaktentuan ekonomi global, terdapat peningkatan risiko berlaku gangguan bekalan berikutan bermulanya sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak Rusia dan pelaksanaan had harga.

 

"Buat masa ini, kita mungkin menyaksikan penurunan ketara dalam eksport minyak mentah, tetapi  ini akhirnya akan disalurkan semula ke negara lain – berdasarkan permintaan global secara keseluruhan masih tidak terjejas," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Laporan Pasaran Minyak Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Disember menekankan bahawa stok minyak industri Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah meningkat sebanyak 17 juta tong kepada 2.77 bilion tong pada Oktober, atau 150 juta tong di bawah purata lima tahunnya.

 

Data awal untuk Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun menunjukkan stok industri meningkat sebanyak tiga juta tong pada November. 

 

Pada masa ini, inventori berada di atas paras 2010-2014, apabila harga minyak purata melebihi AS$100 setong.
 

"Berdasarkan andaian, kami menjangkakan pasaran yang agak seimbang tahun ini, dengan anggaran defisit hingga lebihan suku tahunan antara 700,000 hingga 800,000 tong sehari. 

 

"Oleh itu, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa harga minyak mungkin kekal melebihi  AS$80 tong," jelasnya.

 

Bagaimanapun, menurut RHB Research, komitmen OPEC untuk mengurangkan pengeluaran minyak akan menyediakan sokongan yang kukuh kepada harga minyak.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas dengan pilihan utamanya ialah Bumi Armada Bhd., Dayang Enterprise Holdings Bhd. dan Yinson Holdings Bhd. 

 

Firma itu percaya syarikat minyak akan mengekalkan rancangan perbelanjaan modal (capex) dan operasi (opex), yang akan memanfaatkan penyedia perkhidmatan huluan (Yinson, Dayang Enteprise dan Coastal Contracts Bhd.).

 

"Bagi Malaysia, jangkaan keseluruhan aktiviti huluan oleh pemain perkhidmatan kekal kukuh. Selain itu, mungkin terdapat potensi kenaikan kadar untuk kontrak baharu, untuk menampung kenaikan kos bahan," katanya. - DagangNews.com