KUALA LUMPUR 29 April - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.55 daripada RM1.48 sesaham.
Ini berikutan prestasi kewangannya pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 mengatasi jangkaan firma tersebut.
Pada suku berkenaan, untung bersih Pavilion REIT melonjak kepada RM65.24 juta berbanding RM31.26 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Pendapatan bagi tempoh itu juga naik 10% kepada RM138.78 juta daripada RM126.21 juta.
Menurut RHB Research, Pavilion REIT merekodkan hasil yang kukuh sejajar dengan pemulihan ekonomi, yang menyaksikan pulangan bahagian sewaan dan pendapatan pengiklanan yang lebih tinggi.
Katanya, peralihan negara kepada fasa endemik dan kelonggaran standard prosedur operasi menyaksikan prospek bagi industri peruncitan adalah positif.
"Ini membolehkan pengurusan menyasarkan kadar asal antara 3% dan 5% bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
"Tahun ini, REIT memberi fokus untuk meningkatkan kadar penghunian memandangkan Pavilion Kuala Lumpur mengalami penurunan kepada 90% daripada 96.5% pada Disember 2020 setelah berdepan sekatan pergerakan pada tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pavilion REIT, yang portfolionya merangkumi Pavilion Kuala Lumpur Mall, Elite Pavilion Mall, Pavilion Office Tower, Damen Mall dan Intermark Mall, juga menyatakan bahawa jumlah perbelanjaan operasi hartanahnya adalah lebih rendah sebanyak RM22.6 juta atau 34% berbanding suku pertama 2021.
Pendapatan boleh agih suku pertama 2022 menokok kepada RM67.6 juta daripada RM33.5 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas, naik 101.4%. Pendapatan hartanah bersih Pavilion REIT turut bertambah sebanyak 59.7% kepada RM94 juta.
Setakat 12.13 tengah hari, harga saham Pavilion REIT menokok 3 sen atau 2.31% kepada RM1.33 dengan 1.32 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








