KUALA LUMPUR 3 Ogos - RHB Research optimis dengan prospek MGB Bhd. memandangkan ia mendapat manfaat daripada kontrak pembinaan menerusi LBS Bina Group Bhd.
Ini membolehkan firma itu mengulangi saranan 'beli' terhadap MGB dengan harga sasaran lebih rendah pada 75 sen daripada 83 sen sesaham sebelum ini.
Menurutnya, projek LBS Bina merangkumi Rumah Selangorku Idaman (Idaman) oleh kerajaan Selangor, yang boleh melebihi 7,210 unit semasa pada tahun-tahun akan datang.
Firma itu percaya MGB berada dalam laluan yang betul untuk menambah nilai projek daripada LBS Bina bernilai RM450 juta.
"Tambahan kontrak itu akan meningkatkan nilai kontrak pembinaan sedia ada sebanyak RM2.1 bilion, yang akan memberi pendapatan kepada kumpulan dalam tempoh 3 tahun," katanya dalam nota kajian hari ini.
Namun, RHB Research berkata, masalah kekurangan buruh yang dihadapi kontraktor termasuk MGB kemungkinan akan memberi kesan kepada kemajuan pembayaran.
“Kami dapati MGB telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk mengambil pekerja asing, tetapi kedatangan pekerja boleh berlaku secara berperingkat-mungkin untuk tiga hingga enam bulan akan datang.
“Walaupun penalti akan dikenakan bagi kelewatan projek, MGB mempunyai amalan merancang untuk menyiapkan projek kira-kira sembilan bulan lebih awal daripada penyiapan yang dijadualkan dalam senario biasa.
"Ini secara tidak langsung akan menyediakan penampan yang mencukupi dengan mengambil kira masalah kekurangan buruh buat masa ini," katanya.
Dengan mengambil kira ketidaktentuan tersebut, RHB Research mengurangkan unjuran hasil MGB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 6 hingga 14%.
Semakan itu dibuat selepas menyelaraskan kemajuan pembayaran yang diiktiraf daripada projek pembinaan di tengah-tengah masalah kekurangan buruh dan juga kelewatan pelancaran projek Zenit Molek.
"Selain itu, kami turut mnejangkakan untung bersih MGB pada suku kedua akan menyusut kira-kira RM4 hingga RM5 juta bagi suku ke suku," katanya.
Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersih teras MGB susut 34% tahun ke tahun dan 37% suku ke suku kepada RM7 juta ekoran kos jualan yang lebih tinggi dan masalah buruh.- DagangNews.com








