RHB Research kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor teknologi, konflik Rusia-Ukraine hanya beri impak terhad | DagangNews Skip to main content

RHB Research kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor teknologi, konflik Rusia-Ukraine hanya beri impak terhad

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Mac - RHB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor teknologi dengan pilihan saham bagi sektor itu adalah Inari Amerton Bhd. dan Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI).

 

Firma itu memberi saranan 'beli' terhadap saham Inari Amerton dan MPI dengan harga sasaran masing-masing pada RM3.59 dan RM43.30. 

 

Penganalisisnya, Lee Meng Horng berkata, meskipun nilai saham akan mendahului tahun ini di tengah-tengah pemulihan ekonomi dan kitaran dalam persekitaran kadar yang meningkat dan inflasi berterusan tinggi, tetapi penurunan mendadak penilaian semula pertumbuhan saham (teknologi) kepada paras yang belum dilihat sejak 2019 adalah mengejutkan, memandangkan asas sektor tersebut kekal kukuh. 

 

"Ini memberi peluang yang baik kepada pelabur untuk membeli saham teknologi berkualiti, disokong oleh pemangkin pertumbuhan berstruktur, kadar tukaran asing yang menggalakkan dan penilaian yang wajar.

 

"Bagaimanapun, penjualan telefon pintar yang perlahan, ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), penyelarasan inventori, permintaan gajet elektronik yang lemah dan kadar inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan akan mempengaruhi sektor ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS), nilai industri semikonduktor dijangka mencecah AS$13.5 bilion, mengekalkan pertumbuhan (10.4%) sehingga 2022, mencerminkan pertumbuhan tahun ketiga berturut-turut. 

 

Pertumbuhan suku keempat 2021 yang kukuh (8.3% suku ke suku, 30.9% tahun ke tahun) daripada 10 faundri teratas dijangka berterusan sehingga separuh pertama 2022, menerajui pertumbuhan bagi sektor semikonduktor, walaupun kesesakan rantaian bekalan dan peningkatan dalam harga jualan purata (ASP) berkemungkinan berterusan, berpotensi memanjangkan kitaran menaik ini.

 

Meng Horng berkata, konflik Rusia-Ukraine hanya memberi impak yang terhad setakat ini memandangkan Rusia bukan merupakan pengeluar utama semikonduktor. 

 

Katanya, ia hanya merangkumi kurang daripada 0.1% daripada AS$556 bilion pasaran cip semikonduktor global.

 

"Bagaimanapun, kebanyakan semikonduktor gred neon dunia adalah dari Ukraine. Rusia menyumbang 30 hingga 40% daripada bekalan plladium global, yang kebanyakannya digunakan oleh pengeluar kenderaan  dalam alat pengubah bermangkin. 

 

"Sekiranya, krisis ini berpanjangan dan inventori semasa fabrikasi utama telah habis, ini boleh memburukkan lagi bekalan cip yang ketat," jelas beliau.

 

Dalam pada itu, menurut beliau, tekanan margin daripada harga bahan mentah yang lebih tinggi, kos pematuhan dan permintaan yang lebih rendah sewajarnya diberikan perhatian. 

 

"Di peringkat domestik, sektor berorientasikan eksport dan politik seperti teknologi akan memihak, dalam situasi politik yang tidak menentu dan pengukuhan dolar AS," katanya. -DagangNews.com