Nilai Ringgit lemah tidak baik kepada sektor automotif Malaysia, kata AmInvest | DagangNews Skip to main content

Nilai Ringgit lemah tidak baik kepada sektor automotif Malaysia, kata AmInvest

Bermaz Auto paling sensitif dengan turun naik pertukaran Ringgit kepada Yen, kata AmInvest. -Gambar hiasan Obi Pixel8propix Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 April - Nilai Ringgit Malaysia (RM) yang lemah bermakna bermakna tidak  baik untuk sektor automotif Malaysia kerana banyak komponen dan alat ganti diimport terutama Thailand, Jepun dan Korea Selatan, kata AmInvestment Bank (AmInvestment).

 

Ini susulan spekulasi mengenai wujudnya campur tangan Bank of Japan bagi mengukuhkan Yen selepas mata wang itu jatuh ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 34 tahun semalam sebelum ia melantun semula pada sebelah petang.

 

AmInvestment Bank berkata, kebanyakan komponen dan alat ganti ganti kenderaan didagangkan dalam mata wang dolar AS atau Yen.

 

Sehubungan itu, katanya, kebanyakan pemain industri automotif melindung nilai kedudukan mata wang dengan membeli 3 hingga 6 bulan ke hadapan dengan mengandaikan kadar pertukaran adalah menguntungkan.

 

"Yen Jepun (JPY) mempunyai sesi yang sangat tidak menentu pada 29 April 2024. Ia mula-mula menyusut kepada >JPY160 berbanding dolar AS dalam dagangan awal pagi, iaitu paras terendah 34 tahun dan kemudian ditutup kepada JPY156.35 berbanding dolar AS menjelang penghujung hari. 

 

"Semalam (29 April 2024) adalah cuti di Jepun dan jumlah dagangan adalah kecil kerana tiada institusi utama terlibat.

 

"Ini telah mencetuskan spekulasi bahawa Bank of Japan campur tangan untuk menyokong Yen dan dengan itu mendorong pedagang mata wang untuk mengambil kira kedudukan mereka," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvest, setakat ini tiada kenyataan rasmi oleh pihak berkuasa dan oleh itu ia hanyalah khabar angin yang tidak dapat disahkan.

 

Kata firma penyelidikan itu, RM pula naik sedikit berbanding Yen Jepun dan turun naik adalah kurang teruk semalam.

 

"Perbezaan jurang dalam kos pinjaman di Jepun dan AS, yang kini berada pada 3.72% dan jauh di atas purata sejarahnya menggalakkan perdagangan bawa ke hadapan atau carry trade dan memacu Yen lebih rendah. 

 

"Ringgit juga menjadi mangsa carry trade berbanding dolar AS tetapi RM telah mengukuh berbanding Yen dengan tahun ini ia meningkat sebanyak 5.7% YoY," jelasnya.

 

Menurut AmInvest, Bermaz Auto paling sensitif dengan turun naik pertukaran RM kepada Yen manakala syarikat yang paling kurang sensitif kepada pergerakan Yen ualah MBM Resources dan Sime Darby Motors.

 

"Sime Darby lebih sensitif kepada dolar AS dan dolar Australia," katanya. - DagangNews.com