RHB Investment turunkan 56% harga sasaran saham Sapura Energy kepada 2 sen, kekal saranan Jual | DagangNews Skip to main content

RHB Investment turunkan 56% harga sasaran saham Sapura Energy kepada 2 sen, kekal saranan Jual

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 April - RHB Investment Bank (RHB Investment) mengekalkan saranan 'Jual' saham Sapura Energy Berhad dengan harga sasaran (TP) dikurangkan 56% kepada 2 sen sesaham.

 

Firma penyeldikan itu berkata, saranan ini dikekalkan kerana hutang keseluruhan dan penstrukturan semula ekuiti Sapura Energy yang dilihat gagal mengeluarkannya daripada masalah.


Walau bagaimanapun, RHB Investment agak positif terhadap langkah Sapura Energy menjual 50% ekuiti dalam SapuraOMV Upstream kepada TotalEnergies berharga RM3.37 bilion.

 

"Kami agak positif terhadap langkah pelupusan ini kerana ia adalah penting untuk menetapkan semula Sapura Energy dan mengukuhkan kunci kira-kiranya sambil menandakan keluarnya kumpulan daripada perniagaan cari gali dan pengeluaran (E&P).

 

"Tanda harga EV/2P tersirat sebanyak USD5.20/boe, pada pandangan kami, adalah munasabah. Kami mengekalkan saranan 'Jual' kerana hutang keseluruhan dan penstrukturan semula ekuiti Sapura Energy - sangat cair, pada pandangan kami - tidak dapat dielakkan untuk ia keluar dari 'badai'," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh Sapura Energy Bhd, Sapura Upstream Assets Sdn Bhd melupuskan 50% kepentingan ekuitinya dalam SapuraOMV Upstream Sdn Bhd kepada TotalEnergies Holdings SAS berharga RM3.37 bilion.


ARTIKEL BERKAITAN: Sapura Energy jual 50% ekuiti dalam SapuraOMV Upstream kepada TotalEnergies berharga RM3.37 bilion


Sapura Energy berkata, di bawah terma perjanjian itu, pengambilalihan tersebut tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pelarasan penutupan biasa.

 

Pengurusan kedua-dua Sapura Energy dan TotalEnergies komited untuk mempercepatkan penyelesaian transaksi ini menjelang akhir tahun.

 

Menjelas lanjut, RHB Investment berkata, pihaknya agak positif terhadap langkah pelupusan ini kerana penting untuk menetapkan semula Sapura Energy dan mengukuhkan kunci kira-kiranya sambil menandakan keluarnya kumpulan daripada perniagaan E&P. 

 

"Anggaran hasil pelupusan bersih sebanyak AS$514.1 juta (RM2.5 bilion) akan digunakan terutamanya untuk menyelesaikan jumlah hutang kepada pemiutang yang berkaitan, termasuk pemberi pinjaman pembiayaan dalam pelbagai mata wang," ujarnya. 

 

Sementara itu, RHB Investment mengekalkan anggaran pendapatan Sapura Energy sementara menunggu penyelesaian penjualan dimuktamadkan.

 


Katanya, SapuraOMV telah mengalami kerugian antara RM355 juta dan RM451 juta pada 2020-2022, sebahagian besarnya diseret oleh kemerosotan yang besar sebelum kemudiannya berjaya mencatatkan pemulihan dengan keuntungan minimum RM9 juta pada tahun 2023.

 

"TP berasaskan SOP kami sebahagian besarnya tidak berubah pada 2 sen sesaham selepas membuat pelarasan untuk jualan SapuraOMV, suntikan modal daripada penyelamat atau 'white knight' berpotensi, dan termasuk diskaun ESG 10% berdasarkan skor 2.5 ESG Sapura Energy berbanding median negara 3.0.

 

"Kami juga telah mengandaikan bahawa 25% daripada jumlah hutang akan ditukar kepada ekuiti berdasarkan harga penukaran sebanyak 10 sen saham.

 

"Asas saham diperbesarkan sebanyak 26.8 bilion atau 1.5x. Risiko terbalik: Pelaksanaan projek yang lebih baik daripada jangkaan dan aliran kontrak yang lebih kukuh daripada jangkaan," jelasnya.- DagangNews.com