RHB Investment positif terhadap prospek FY24 Guan Chong didorong perkembangan margin | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek FY24 Guan Chong didorong perkembangan margin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - RHB Investment positif terhadap prospek FY24 Guan Chong Bhd didorong oleh perkembangan margin (nisbah serta hasil yang lebih tinggi).

 

Katanya, terdapat peningkatan ketara pada harga saham kerana pasaran memandang rendah potensi pendapatan mampan daripada kuasa penetapan harga baharu kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkara itu disokong oleh kapasiti terhad dan permintaan yang berdaya tahan walaupun harga biji koko meningkat untuk tempoh yang lama.

 

"Keadaan itu menyediakan peluang yang positif kepada kumpulan itu bagi meraih bahagian pasaran serta meluaskan jangkauannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, berbanding jangkaan pasaran, Guan Chong mendapat lebih manfaat daripada kos bahan mentah yang rendah sebelum berlakunya lonjakan harga biji koko.

 

"Keuntungan paling penting kepada kumpulan adalah bergantung kepada nisbah gabungan yang merupakan pemacu utama dalam purata harga jualan serta hasil.

 

"Dalam keadaan biasa, nisbah bahan mentah cenderung untuk mengimbangi antara satu sama lain dalam persekitaran harga biji koko yang tidak stabil, membawa kepada kesan yang agak neutral terhadap keuntungan mereka," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun, memandangkan kedua-dua nisbah berada pada paras tertinggi kesan kekurangan bekalan dan permintaan yang mampan, Guan Chong menerima manfaat sejak Januari 2024.

 

Katanya, ia seharusnya mengembangkan margin pengisaran dengan ketara dan menjana potensi pendapatan yang kukuh pada separuh kedua FY24 dan FY25, disokong oleh mekanisme jualan hadapan.

 

"Defisit kacang pada musim 2023-2024, terjejas oleh cuaca buruk, penyakit buah dan virus, ditambah kekurangan pembuat coklat telah mengalihkan dinamik kepada pasaran penjual dan ia sepatutnya kekal pada pertengahan musim (April-September) ketika biji koko sukar didapati," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.30 sesaham," katanya.- DagangNews.com