KUALA LUMPUR 28 Feb - RHB Investment Research menyemak naik penarafan Datasonic Group Bhd. kepada 'beli' daripada 'neutral' dengan harga sasaran lebih tinggi pada 56 sen daripada 52 sen sesaham sebelum ini selepas kumpulan merekodkan keuntungan bersih teras mengatasi jangkaan firma.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2022, Datasonic kembali mencatat untung bersih sebanyak RM53.7 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM3.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan juga meningkat kepada RM240 juta dalam tempoh itu berbanding RM82.1 juta bagi tempoh sama dalam tahun kewangan 2022 terutamanya didorong pembekalan kad pintar, pasport dan personalisation services yang lebih tinggi.
Menurut firma itu, peningkatan ketara dalam hasil dan keuntungan teras tahun ke tahun dibantu oleh penyambungan semula pesanan untuk MyKad dan permintaan terpendam bagi penyelesaian berkaitan pasport.
"Oleh itu, kami menaikkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) sebanyak 28% berikutan pesanan yang lebih kukuh pada suku keempat ini. Tetapi, kami mengekalkan unjuran bagi FY24 hingga FY25 masing-masing sebanyak 1.3% dan 2.1%.
"Kami percaya trajektori keuntungan yang mampan dan kukuh di tengah-tengah lonjakan permintaan untuk penyelesaian dan potensi perolehan projek baharu ditambah dengan kelemahan harga saham baru-baru ini, akan memberikan peluang belian yang kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Datasonic catat untung bersih RM53.7 juta bagi tempoh 9 bulan FY23 didorong peningkatan pembekalan kad pintar, passport
Namun, firma itu berkata, risiko kepada penarafan semula bergantung kepada nilai kontrak yang lebih lemah daripada jangkaan, kos input lebih tinggi dan kontrak tidak diperbaharui.
Setakat ini, nilai kontrak Datasonic dianggarkan sebanyak RM412 juta daripada RM480 juta sebelum ini.
RHB Investment berkata, kumpulan masih giat meneruskan program dan inisiatif baharu untuk meningkatkan lagi nilai kontraknya.
"Antaranya, kad pengenalan digital nasional, penyelesaian baharu MyKad dan sistem pengurusan identiti di bawah memorandum perjanjian (MoA) dengan Kementerian Perancangan Bandar, Perumahan dan Pembangunan Wilayah Republik Guinea," tambahnya.
Setakat 11.19 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 1.1% kepada 45 sen dengan 1.48 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








