KUALA LUMPUR 24 Ogos - RHB Investment menaikkan taraf saranan saham Eastern & Oriental Bhd (E&O) kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 55 sen sesaham berbanding 33 sen sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata TP ditingkatkan bagi mencerminkan sentimen pasaran yang lebih baik pada masa hadapan, memandangkan pilihan raya negeri telah selesai.
Firma tersebut menjangkakan pengebilan meningkat pada suku-suku mendatang, disokong oleh jualan hartanah RM269.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 2024 (1QFY24).
“Kami mengurangkan pendapatan kumpulan bagi FY24-26 sebanyak kira-kira 15%. Jualan belum dibil telah meningkat kepada RM999.3 juta berbanding RM878.9 juta pada 4QFY23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas mengenai prestasi kumpulan dalam suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) yang berakhir pada 30 Jun 2024 baru-baru ini, RHB Investment berkata ia meleset daripada jangkaan, disebabkan pengebilan yang lebih perlahan - yang merupakan satu kekecewaan - untuk projek Andamannya.
BACA JUGA: Eastern & Oriental catat untung bersih RM32.95 juta pada 1QFY24 didorong peningkatan pendapatan, untung forex
“Pengebilan lebih perlahan daripada projek yang sedang dijalankan telah diimbangi oleh pengiktirafan lebih tinggi bagi jualan tanah kepada KWEST (kini 78.7% siap, berbanding 69.5% pada FY23), serta prestasi lebih baik tahun ke tahun daripada segmen hospitaliti,” katanya.
Menurut firma itu, Arica, projek pangsapuri servis kedua di Pulau Andaman, merupakan penyumbang terbesar, meraih jualan bernilai RM194.8 juta pada suku tersebut.
Kadar pembelian untuk Arica kini melebihi 70%, manakala jualan untuk The Conlay dan The Peak agak perlahan.
E&O mencatatkan keuntungan bersih bagi suku keempat berturut-turut sebanyak RM32.95 juta dalam suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding kerugian bersih RM1.65 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong peningkatan pendapatan dan keuntungan pertukaran mata wang asing (forex).
Pendapatannya turut meningkat 11.5% kepada RM85.4 juta daripada RM76.6 juta tahun lalu, dipacu pendapatan segmen hartanah dan hospitaliti masing-masing berjumlah RM60.9 juta dan RM23.4 juta.
Pada waktu penulisan, saham E&O susut 1.5 sen atau 3.3% kepada 43.5 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM686.5 juta. - DagangNews.com








