RHB Investment, MIDF Research positif langkah Axis Reit lupuskan aset kilang besi di Nusajaya | DagangNews Skip to main content

RHB Investment, MIDF Research positif langkah Axis Reit lupuskan aset kilang besi di Nusajaya

Axis Steel Centre terletak di SILC, Nusajaya Johor dimiliki Axis REIT 9 tahun lalu./Gambar Axis REIT
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April - Dua firma penyelidikan menyifatkan langkah Axis REIT melupuskan Axis Steel Centre@SiLC di Nusajaya, Johor sebagai langkah positif dalam memaksimumkan pulangannya.

 

Bagi RHB Investment, pihaknya memandang positif akan pelupusan aset tersebut pada harga RM162 juta kerana harga bagi setiap kaki persegi (psf) yang ditetapkan kelihatan menarik. 

 

Katanya, pelupusan ini juga membolehkan Axis REIT merendahkan paras pinjamannya dan membantu membiayai pengambilalihan aset di Bukit Raja baru-baru ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, selepas memiliki aset ini selama sembilan tahun (bangunan ini berusia 14 tahun), pihak pengurusan Axis REIT berpendapat bahawa potensi untuk kenaikan harga sewa mungkin terbatas. 

 

"Hal ini kerana kapasiti semasa bangunan ini yang berfungsi sebagai kemudahan pembuatan. Pada pandangan kami, harga RM138 psf mengikut kawasan tanah merupakan harga menarik untuk pelupusan ini. 

 

"Kami rendahkan anggaran paras hutang bersih daripada 39% (selepas pengambilalihan yang sedang dijalankan selesai) kepada 36%. 

 

"Penurunan ini seharusnya memberi lebih ruang untuk REIT ini mengambil alih aset-aset yang menjana hasil lebih tinggi pada masa depan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Axis REIT ambil alih kompleks perindustrian, kawasan simpanan Lion Industries berharga RM351.8 juta di Klang

 

Axis REIT semalam mengumumkan telah memeterai perjanjian jual beli untuk melupuskan Axis Steel Centre @ SiLC di Nusajaya yang tidak dihuni kepada sebuah syarikat pengendali pusat data dengan harga berjumlah RM162 juta. 

 

Sementara itu, MIDF Research sedikit positif dengan pelupusan Axis Steel Centre @ SiLC kerana aset tersebut pada masa ini tidak disewakan. 

 

Katanya, aset tersebut dahulunya disewa oleh Yongnam Engineering Sdn Bhd (YESB) yang gagal membayar sewanya. 

 

Justeru, firma penyelidikan itu berkata, cadangan pelupusan Axis Steel Centre @ SiLC dijangka memaksimumkan pulangan Axis REIT ke atas asetnya kerana aset tersebut tidak menjana pendapatan yang ketara.

 

"Harga pelupusan RM162 juta adalah lebih tinggi daripada nilai pasaran hartanah sebanyak RM159 juta dan Axis REIT dijangka mencatat keuntungan pelupusan bersih sebanyak RM0.5 juta," jelasnya.

 

Kedua-dua firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' saham Axis REIT.

 

RHB Investment bagaimanapun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.08 sesaham berbanding RM2.11 sebelum manakala MIDF Research menetapkan RM2 sesaham.- DagangNews.com