KUALA LUMPUR 22 Ogos - Rexit Berhad dijangka menyaksikan pemulihan dalam tahun kewangan 2024 (FY24) didorong oleh pendapatan stabil dan berulang.
Malacca Securities mengekalkan unjuran pendapatan Rexit bagi FY23-25 masing-masing pada RM9.9 juta, RM10.3 juta dan RM10.6 juta, yang telah mengambil kira sumbangan berulang daripada pelanggan sedia ada, serta sumber pendapatan baharu daripada pelanggan yang dijangka akan menyertainya pada FY23 dan FY24.
Firma penyelidikan itu berkata ia kekal optimistik tentang rundingan semasa Rexit dengan bakal pelanggan baharu.
Sekiranya persetujuan berjaya dicapai, pelanggan dijangka menyertai kumpulan pada suku keempat tahun ini, yang pada mulanya menyumbang melalui perkhidmatan e-Cover motor, dan seterusnya berkembang menjadi urus niaga bukan motor dalam separuh pertama tahun depan.
“Kami menyukai pengenalan aliran hasil baharu daripada pelanggan melalui perkhidmatan berasaskan langganan, yang akan menjana pendapatan yang stabil dan berulang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, kumpulan itu sedang berbincang dengan pelanggan berpotensi lain, menyasarkan untuk memperoleh mereka menjelang FY24.
Sementara itu bagi Perjanjian Perkhidmatan Penyumberan Luar mySalam, ia telah bermula pada 1 Januari 2019 dan akan tamat pada 31 Disember 2023.
“Melangkah ke hadapan, Rexit akan kekal komited untuk mengembangkan perkhidmatan e-Cover kepada sektor perkhidmatan kewangan dan segmen e-dagang yang lain. Selain itu, kumpulan itu akan terus memasarkan perkhidmatannya ke pasaran serantau. Bagaimanapun, prospek kumpulan itu kekal mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi global,” tambahnya.
Malacca Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 83 sen sesaham.
Firma itu berkata risiko kepada saranannya termasuk kemungkinan Perjanjian Perkhidmatan Penyumberan Luar mySalam tidak diperbaharui, yang boleh memberi kesan buruk kepada hasil kumpulan.
“Selain itu, REXIT terdedah kepada risiko keselamatan dan gangguan sistem seperti virus komputer, penipuan dan gangguan bekalan elektrik, yang mungkin menghalang keupayaan kumpulan untuk melaksanakan produk dan perkhidmatannya,” tambahnya.
Pada waktu penulisan, saham Rexit tidak berubah pada 78 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM147.7 juta. - DagangNews.com








